Khamis, 20 Jun 2019

MPK gesa suruhanjaya tenaga potong bekalan utiliti 30 kilang plastik haram

Seorang anggota penguatkuasa MPK menggunakan mesin pemotong 
untuk membuka pintu kilang plastik haram dalam Operasi 
Penguatkuasaan Bersepadu Kilang Plastik Tanpa Lesen di Telok 
Gong Pelabuhan Klang baru-baru ini. (Gambar Bernama)
 
KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyeru Suruhanjaya Tenaga (ST) supaya mempercepatkan kelulusan pemotongan bekalan elektrik ke atas kilang plastik haram yang masih beroperasi di daerah ini.

Yang Dipertua MPK, Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya menghantar senarai 30 kilang plastik haram kepada ST baru-baru ini untuk diluluskan pemotongan bekalan utilitinya oleh agensi terlibat bagi membendung kegiatan itu terus berlarutan.

Beliau berkata lokasi kilang plastik haram yang dikesan terus aktif walaupun pernah disita itu adalah di sekitar Telok Gong, Pulau Indah dan Taman Perindustrian Sobena Jaya.

“Sebelum ini kita ada buat serbuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memotong bekalan utiliti tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tiada kelulusan daripada pihak ST.
Pemilik kilang haram ini tahu kuasa MPK terhad. Walaupun kita berikan notis henti operasi, kenakan kompaun malah menyita premis namun mereka tetap boleh sambung operasi kerana bekalan elektrik dan air masih ada,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Bersama MPK 2019 di Taman Pengkalan Batu, hari ini.

Justeru itu kata Mohamad Yasid, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada ST untuk menyegerakan kelulusan permohonan untuk memotong bekalan utiliti di kilang haram berkenaan supaya usaha MPK membanteras sepenuhnya kegiatan itu berjalan lancar.

Pada 3 Jun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han menyatakan kelewatan syarikat utiliti memotong bekalan kepada kilang haram itu melambatkan usaha MPK untuk menutup sepenuhnya operasi premis terbabit.

Kata Ng, mengikut pengalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa lokasi lain di negeri itu, usaha membanteras kilang plastik haram hanya boleh dilakukan apabila premis terlibat tidak lagi mempunyai akses kepada tenaga elektrik dan bekalan air.

Terdahulu pada majlis sambutan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Abdul Rashid Asari menyampaikan sumbangan duit raya kepada 120 orang kelainan upaya (OKU) asnaf dan fakir miskin.

Tiada ulasan: