Kata dua diberi bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi kepada Utusan Malaysia diketawakan salah seorang bekas pekerja akhbar itu hari ini.
Kata Pyanhabib, kenyataan diberikan Puad itu memang sangat lucu dan jauh daripada keadaan sebenar.
Malah kata Pyanhabib, Puad juga seakan tidak menyedari apa yang berlaku kepada akhbar itu selama Umno menjadi kerajaan di negara ini.
"Nak boikot Utusan? Kah kah kah!" katanya kepada Malaysiakini selepas diminta mengulas kenyataan dibuat Puad berhubung kecenderungan akhbar berkenaan mengecam Datuk Seri Najib Razak.
Pyanhabib yang berkhidmat di akhbar milik Umno itu selama lebih 20 tahun berkata sejak berpuluh tahun lalu anggota parti itulah yang culas membeli dan membaca Utusan Malaysia serta majalah terbitan syarikat itu sehingga ia berdepan dengan masalah pengedaran serta kewangan.
"Setakat apa yang saya tahu sejak puluhan tahun lagi anggota Umno yang seramai tiga juta orang itulah yang malas membaca surat khabar.
"Bagi percuma pun dia orang buat sampah saja," katanya.
Otak segar kalau rajin
Kata Puad akhbar itu mesti memohon maaf kepada Najib kerana mendakwa bekas perdana menteri itu berbohong semasa mengulas isu wang yang didepositkan ke akaun banknya.
Puad berkata, jika Utusan enggan berbuat demikian maka ahli Umno wajar memboikot akhbar yang selama ini menjadi lidah parti Melayu itu kerana membuat kesimpulan awal berhubung perkara tersebut.
Puad juga secara khusus menamakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Sheik Fadzir sebagai individu di belakang ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, semalam.
“Aziz perlu meminta maaf kepada Najib kerana terlalu gopoh membuat kesimpulan. Kalau dia enggan maka eloklah ahli Umno memboikot Utusan,” katanya.
Untuk rekod Umno memiliki saham dalam syarikat Utusan Melayu (M) Bhd dan sejak akhir-akhir ini berdepan masalah kewangan ekoran kemerosotan penerimaan pembaca.
Selepas PRU ke-14 berakhir syarikat berkenaan merombak lembaga pengarahnya dengan melantik Abdul Aziz sebagai pengerusi ekskutif.
Utusan juga melantik bekas ketua pengarah penyiaran Datuk Dr Ibrahim Yahaya - yang rapat dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - sebagai anggota lembaga pengarah mulai Julai lalu.
Utusan juga baru-baru ini dilaporkan mengalami kesukaran untuk membayar gaji pekerja mengikut waktu yang sepatutnya.
Rencana pojok disiarkan Mingguan Malaysia
semalam dianggap menarik kerana ia adalah langkah langka diambil akhbar
tersebut ke atas Najib. Ia juga dilihat satu gerakan untuk menjarakkan
Umno dengan bekas presidennya sendiri.
Selain itu dia yang dikenali sebagai penulis dan pelakon berkata "otak" ahli Umno juga akan sentiasa segar jika mereka rajin membaca.
"Tetapi ahli Umno ini... kamu sambung sendirilah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan