Sabtu, 17 November 2018

PKR jangan jadi 'parti tahi' terima langau, kata perwakilan

 
   

Seorang perwakilan PKR mengingatkan parti itu supaya tidak berbangga dengan jumlah keahlian yang semakin meningkat jika hanya menerima 'langau' yang berterbangan daripada parti Umno.

Perwakilan dari Johor, Yasharudin Kosdi merujuk ucapan timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan yang menggunakan istilah itu bagi melabelkan pemimpinnya yang meninggalkan Umno.

Jelas Yasharudin, PKR juga tidak boleh menjadi 'parti tahi' dengan menerima masuk langau-langau yang tidak memahami idelisme perjuangan parti berkenaan.

“Saudara tahu tak langau itu apa? Kalau langau ini biasa menghurung apa (merujuk kepada tahi)?
"Sudah tentu bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mengaku bahawa Umno adalah sebuah parti tahi.

"Dan kita tidak boleh jadikan parti kita (PKR) sebagai parti tahi,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam, hari ini.
Katanya, Umno yang berbangga memiliki lebih 3 juta ahli boleh tewas pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

“Pemimpin jangan leka dan lalai, ramai anggota baru masuk ke parti kita belum tentu yang baru itu ada roh perjuangan,” tambahnya lagi.

Mohamad sebelum ini dalam satu ucapan yang dipetik Umno-Online melabalkan penyokong partinya yang kini meninggalkan pertubuhan berkenaan sebagai langau.

Beliau berkata 'langau-langau' terbabit meninggalkan Umno selepas tiada lagi apa-apa yang boleh memberi keuntungan kepada mereka.

Sementara itu, Yasharudin berkata, meskipun PKR memenangi tujuh kerusi Parlimen di Johor, namun tiada daripada kalangan wakil rakyatnya yang dipilih menjadi menteri.

Sebaliknya jawatan menteri dari Johor kesemuanya dianggotai oleh wakil rakyat Bersatu, katanya.


Tiada ulasan: