Sabtu, 17 November 2018

Ketua AMK baharu di’boo’ perwakilan

Manzaidi Mohd Amin

Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu, Yb Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) dijulang selepas diumumkan sebagai Ketua AMK pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
 

SHAH ALAM – Dewan tempat persidangan perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pusat petang ini gamat dengan pekikan ‘boo’ sebaik sahaja Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Ketua AMK yang baharu.

Keadaan bertambah bingit dengan perwakilan bercakap sesama sendiri diselubungi
 seribu tanda tanya dan ramai antara mereka bertindak keluar dewan itu kerana tidak berpuas hati.

Masing-masing perwakilan yang hadir ke Kongres Keadilan Wanita dan AMK itu menganggap Dr Afif Bahardin sebagai Ketua AMK yang baharu bagi penggal 2018-2021.

Nama Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru tidak menonjol sepanjang sembilan minggu tempoh pemilihan berlangsung, menyebabkan kemenangannya sukar diterima oleh perwakilan.

Turut diumumkan menang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham sebagai Timbalan Ketua AMK yang baharu.

Ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Ketua AMK, Akmal Nasrullah meminta semua perwakilan dan ahli bertenang dan menerima keputusan yang telah diputuskan oleh JPP berdasarkan undi ahli.

Beliau turut menyeru ahli dan kepimpinan AMK Pusat memberi kerjasama kepadanya dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawab oleh ahli kepadanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: