Sabtu, 17 November 2018

DUN RANTAU: UMNO SAH PERTARUHKAN TOK MAT




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘mengesahkan’ Datuk Seri Mohamad Hasan akan dipertaruhkan kembali bagi mempertahankan kerusi DUN Rantau yang diisytiharkan kosong selepas kemenangan Timbalan Presiden UMNO itu dibatalkan mahkamah.

Presiden UMNO itu berkata, parti itu akan meletakkan penyandang asal kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan nanti.

Ahmad Zahid berkata keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Seremban pada Jumaat sememangnya sudah dijangkakan.

“Keputusan mahkamah untuk PRK DUN Rantau sudah dijangkakan.

“UMNO akan mencalonkan semula Mohamad Hassan. Jentera BN akan digerakkan sepenuhnya. Biarpun banyak kekangan dan halangan, kerusi Rantau mesti dipertahankan.

“Demi maruah dan kesinambungan mari UMNO/BN perkasa kesatupaduan,” katanya melalui kenyataan di Twitternya.

Awal hari ini, mahkamah pilihan raya di Seremban memerintahkan kerusi DUN Rantau dikosongkan dan memutuskan kemenangan Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sebagai tidak sah.

Mahkamah mengambil keputusan itu selepas mendapati Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR, Dr S Streram masuk ke pusat pencalonan pada 28 April lalu.

Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad.


Tiada ulasan: