Sabtu, 17 November 2018

AMK SOKONG ICERD – NIK NAZMI




Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersetuju dengan cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tiada sebab ICERD dibantah jika ia tidak menggugat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“AMK tidak menghalang sekiranya kerajaan mahu meratifikasi ICERD di negara ini.

“Kerajaan bagaimanapun perlu memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak diubah dengan menandatangani ICERD. Kerajaan perlu memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak tergugat jika menandatangani ICERD.

“Jika boleh lindungi Perlembagaan, kenapa tidak tandatangan ICERD. Namun ia perlulah dilakukan bersyarat iaitu tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepad menghadiri Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada Jumaat.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan kerajaan mencontohi langkah bijaksana ditunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu meratifikasi ICERD.

Beliau berkata, tiada keperluan bagi ICERD diwujudkan di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin kebebasan beragama dan hak untuk semua kaum.

Katanya, Islam yang ada dalam Perlembagaan memberi ruang lebih baik dan adil kepada semua kaum daripada ICERD.


Tiada ulasan: