Selasa, 9 Ogos 2016

Yusuf Qardhawi sudah lama haramkan Pokemon

 
 Yusuf Al-Qardhawi


Ada satu status media sosial seorang isteri marah-marah dan mahu mencari siapa yang mencipta permainan Pokemon Go.

Dia kata, kalau jumpa individu tersebut dia akan belasah cukup-cukup kerana menyebabkan dia 'kehilangan' kasih sayang suaminya.

Puncanya, suaminya sudah ketagih bermain Pokemon Go dan selalu keluar awal pergi kerja dari rumah atas alasan mahu 'menangkap' seberapa banyak Pokemon sepanjang perjalanan.

Entah betul atau tidak tetapi ia salah satu 'tanda' ia menjadi trend di Malaysia sejak dilancarkan dan Pokemon Go hasil ciptaan Google kini menjadi fenomena sosial di seluruh dunia.

Satu kes di Singapura, ada sebuah masjid di sana siap dengan papan kenyataan siapa mahu menangkap pokemon di sini sila solat tahiyatul masjid dahulu.

Di Amerika Syarikat lagi teruk, ada suami isteri ditahan polis kerana membiarkan anak mereka berseorangan di rumah berjam-jam kerana pasangan itu pergi 'menangkap' Pokemon.

Permainan berbentuk aplikasi telefon pintar dan android itu bukan sahaja digemari kanak-kanak tetapi sampai bapa budak pun ikut sama ketagih terutama yang 'mengenali' Pokemon atau Pocket Monster itu dalam bentuk animasi pada pertengahan 1990-an.

Bagaimanapun apabila ia Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mahu masyarakat Islam 'menjauhkan' diri daripada permainan itu menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

Ia digambarkan seolah Zulkifli menfatwakannya haram dan disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula.

Di alam maya, ada netizen yang menyokong tetapi ramai yang menempelak mufti dan JAKIM sambil mendakwa golongan agama lebih memikirkan Pokemon Go tetapi 'melupakan' isu lebih besar seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Malah ada mempolitikkan isu yang sama sehingga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asayraf Wajdi Dusuki sendiri menasihati supaya masyarakat menghormati pandangan mufti yang membuat kenyataan berdasarkan maslahah umat.

Bagi penulis, pandangan Mufti Wilayah merupakan satu pendapat yang mengambilkira semua aspek termasuk fatwa-fatwa di negara lain yang sudah lama mengharamkan Pokemon termasuk Ketua Persatuan Ulama Dunia, Dr. Yusuf Al Qardhawi sendiri pada tahun 2001.

Alasan yang beliau nyatakan ialah demi menjaga akal, akidah dan tingkah laku kanak-kanak dan juga harta mereka daripada pembaziran selain mengkritik tindakan ibu bapa yang membenarkan tindakan anak-anak mereka dalam isu yang sama.

Selain itu, risiko bahaya ke atas akidah seseorang Muslim kerana Pokemon terbina di atas teori Darwin yang terkenal dengan idea evolusi, perkembangan dan perubahan organisma mengikut persekitaran dan zaman.

Ia juga dianggap Yusuf merbahaya kepada akal kanak-kanak kerana ia dibina atas dasar akal dan naqli semata-mata. Ketika fatwa itu dibuat belum ada Pokemon Go cuma ada animasi dan permainan biasa melibatkan gergasi comel berasal dari Jepun.

Sementara itu, wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar, Prof Dr. Abbas Syuman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menggalakkan remaja Muslim suka dengan bermain Pokemon Go kerana membawa kepada ketagihan.

Apa pun perlu diingat, pandangan ulama mengenai Pokemon perlu dibuat kerana ia perkara baharu di negara ini dan bukan bermakna mereka 'merestui' perkara mungkar seperti rasuah dan penyelewengan kuasa yang sudah tentu salah.

Itu peranan ulama dan mufti di negara kita dan wajar kita menghormatinya walaupun kerajaan sehingga kini masih tidak ada sebarang peraturan menghalang Pokemon Go kerana sebarang tindakan kerajaan memerlukan bukti, fakta dan kesan terlebih dahulu.

Janganlah kerana Pokemon Go, ada antara kita yang beragama Islam ini meremehkan ulama yang tugasnya menyambung perjuangan anbia.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: