Sabtu, 6 Ogos 2016

Tetapkan pekerja baca al-Quran jam 8.30 pagi tiap hari

Tetapkan pekerja baca al-Quran jam 8.30 pagi tiap hari
Noraini (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff (dua, kiri) menyaksikan penyerahan cenderamata daripada Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Profesor Datuk Dr Mizan Hitam (tiga, kanan).


GOMBAK - Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya serta Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan ruangan khas khusus untuk sertai Rumah Ngaji.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya UIAM, Noraini Ahmad berkata, beliau menetapkan kakitangan di jabatannya untuk mengalunkan bacaan al-Quran selama setengah jam bermula jam 8.30 pagi setiap hari.

Menurutnya, langkah itu adalah didikan yang boleh diamalkan bagi membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Disebabkan rutin harian padat dengan bekerja dan menguruskan hal rumah tangga, banyak antara kita tiada masa baca al-Quran dan bila kita laksanakan sistem ini, maklum balas diterima daripada kakitangan, positif.

“Sebelum ini, kita buat hanya pada Ramadan dan sekarang kita mahu bacaan al-Quran dibuat secara berterusan supaya ia boleh juga menjadi amalan yang boleh dibawa dalam institusi keluarga, seterusnya kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Rumah Ngaji di UIAM, semalam.

Jelasnya, beliau mengikuti program Rumah Ngaji yang dijalankan dan tertarik menyertainya disebabkan pengisian bertepatan dengan konsep baca, faham dan amal.

“Al-Quran juga dekat dalam bidang kaunseling apabila jiwa jadi tenang dengan mendengar alunan ayat suci, apatah lagi jika membaca dan memahami maksudnya.

“Ia akan jadi lebih seronok jika dilakukan secara berkumpulan kerana dapat bersama-sama belajar dan membetulkan bacaan,” katanya.


Tiada ulasan: