Isnin, 15 Ogos 2016

Tengku Sulaiman tuntut takhta

Tengku Sulaiman tuntut takhta
Tengku Sulaiman (tengah) berbincang sesuatu dengan peguamnya T Mura Raju (kanan) di luar kamar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, dengan ditemani bapa saudaranya, Syed Abdul Aziz Syed Hamzah.
 

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini, semalam, memanggil Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, untuk pengurusan kes tuntutan takhta Sultan Terengganu daripada keturunan Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman mengikut Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 yang difailkan olehnya sejak 3 Mei lalu.

 Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menetapkan 25 September ini sebagai tarikh untuk pengurusan kes selanjutnya.

 Keputusan dibuat atas permintaan pihak defendan-defendan kerana pihaknya bercadang membalas afidavit pihak Tengku Sulaiman sebagai plaintif yang difailkan bagi menentang permohonan-permohonan defendan untuk membatalkan tuntutan berkenaan.

 Tengku Sulaiman, 59, hadir di mahkamah semalam, ditemani peguamnya, T Mura Raju, buat kali ketiga selepas kali pertama pada 6 Jun lalu dan disusuli pada 17 Julai di mahkamah sama.

 Beliau, yang merupakan cucu lelaki sulung kepada Tengku Ali, menamakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin; Isa @ Ghazali Endut; Tengku Ibrahim Tengku Hussain; Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus; Shaikh Harun Shaikh Ismail, semua didakwa sebagai ahli-ahli semasa Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan kerajaan negeri, sebagai defendan.

 Berdasarkan pernyataan tuntutannya, pada 26 September 1942, Tengku Ali menduduki takhta Kerajaan Terengganu berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.

 Bagaimanapun, Tengku Ali diturunkan daripada takhta itu pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu,  kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, dan melantik bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu.

 Di dalam pernyataan tuntutan itu juga mendakwa, sedangkan pada waktu itu, Tengku Ali mempunyai anak sulung lelaki berusia 11 tahun iaitu Tengku Abdul Halim Tengku Ali yang sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.

 Justeru, Tengku Sulaiman yang merupakan anak lelaki sulung kepada Tengku Abdul Halim menuntut haknya menduduki takhta Sultan Terengganu berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu 1911, Perlembagaan Terengganu dalam bentuk asal.

 Pernyataan tuntutan itu turut menyebut bahawa plaintif berhak mewarisi dan menaiki serta menuntut takhta Negeri Terengganu semasa hayatnya.

Selain itu, berdasarkan pernyataan tuntutan itu turut memaklumkan plaintif sebelum ini pernah mengemukakan tuntutannya kepada Dewan Pangkuan Diraja Terengganu yang mana buat masa ini ia dikendalikan oleh defendan-defendan.

 Menurut tuntutan itu, Dewan tersebut mengeluarkan surat pada 1 September 2014 yang memutuskan sebulat suara secara bertulis bahawa tuntutan plaintif ditolak sambil memberi amaran supaya plaintif jangan melakukan khianat atau derhaka seperti termaktub dalam Fasal 52 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 dan Fasal 27 (Bab atau Bahagian Kedua) Perlembagaan tersebut.


Tiada ulasan: