Isnin, 29 Ogos 2016

#TangkapMO1: 'Mahasiswa cari publisiti murahan' - Pemuda UMNO Kedah

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
#TangkapMO1: 'Mahasiswa cari publisiti murahan' - Pemuda UMNO Kedah
PEMUDA UMNO KEDAH: #TangkapMO1: 'Mahasiswa cari publisiti murahan' - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Mahasiswa yang menyertai himpunan Protes 'Tangkap Malaysian Official 1' (#TangkapMO1) merupakan segelintir kumpulan pelajar yang hanya mahu mencari publisiti murahan dan kabur dalam perjuangan masing-masing.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, mereka juga jelas diperalat pimpinan pembangkang yang mahu mahasiswa hilang fokus dalam pembelajaran di universiti.

"Golongan ini memilih untuk berdemo di jalan raya di sebalik pelbagai peluang bersuara disediakan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Parlimen Belia, Parlimen Mahasiswa dan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Negara.

"Tindakan itu tidak mencerminkan jiwa intelektual sebenar. Pertama, isu yang diperjuangkan masih dalam keadaan samar, kedua sekadar menurut rentak gendang dipalu pembangkang dan ketiga mengkhianati amanah dan citra negara yang mahukan golongan ini menjadi cendekiawan yang mampan dengan pencapaian cemerlang akademik dan sahsiah yang terpuji," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

BACA: #TangkapMO1: Tindakan akan diambil terhadap pelajar tajaan MARA

BACA: Polis akan panggil penganjur perhimpunan haram - Timbalan KPN

Pada Sabtu, perhimpunan yang dianjurkan kumpulan aktivis Gerakan Anak Muda ini diadakan di sekitar ibu negara termasuk di hadapan pusat beli belah Sogo dan Masjid Negara.

Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda mendesak identiti 'MO1', yang dinyatakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.

Dalam pada itu tegas Shaiful, mahasiswa juga lebih baik untuk menumpukan isu dalam kampus yang bersifat setempat berbanding perkara yang masih belum jelas difahami mereka sendiri.

"Apa yang seharusnya diberi keutamaan oleh golongan ini misalnya kebajikan pelajar, kemudahan asrama, peningkatan kualiti pengajaran dan kondusifnya kondisi pembelajaran.

"Namun golongan yang digelar pejuang mahasiswa ini gagal melihat isu berkenaan sebaliknya memilih jalan politik partisan dan ingin cepat glamour dengan cara dan kaedah yang salah.

"Inilah yang saya gelarkan sebagai kelompok mahasiswa yang masih belum berjiwa merdeka, lebih memalukan majoriti yang terlibat ialah mahasiswa Melayu," jelasnya.

BACA: #TangkapMO1: 'Pembangkang jadikan mahasiswa keldai politik' - Armand
 
Katanya lagi, segelintir mahasiswa Melayu ini masih terus dengan cara lama dan tidak menguntungkan sesiapa.

"Selain memberi kredit pada pakatan pembangkang, mahasiswa bukan Melayu terus berjuang di medan kecemerlangan akademik dengan beroleh keputusan terbaik dan menjamin pekerjaan yang hebat.

"Mahasiswa sejujurnya perlu lebih kental jiwa merdeka dengan tidak membiarkan diri terus terpenjara dengan agenda murahan puak yang berkepentingan merebut kuasa," tegasnya. 
 
 

Tiada ulasan: