Jumaat, 26 Ogos 2016

#TangkapMO1 esok: Hormati hak rakyat untuk berhimpun

MALAYSIA DATELINE
 
 
Himpunan TangkapMO1Himpunan TangkapMO1


Biro Undang-undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan pihak polis agar memberikan tumpuan untuk memudah cara perhimpunan #Tangkap MO1 esok dan mengelakkan provokasi, bukan sekadar memastikannya selesai lebih awal.

Timbalan pengerusi Kanun, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, Seksyen 8 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) secara jelas menyebut bahawa tanggungjawab polis adalah untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur dan bukan bertujuan menyusahkan aktiviti yang dijalankan.

Ini kerana hak untuk berhimpun adalah hak yang dijamin di bawah peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kanun percaya bahawa pihak penganjur telah memaklumkankan kepada pihak keselamatan berkenaan demonstrasi tersebut selaras dengan peruntukan seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

“Kanun juga yakin bahawa kedua-dua pihak penganjur dan keselamatan telah dan akan mengambil segala langkah yang diperlukan untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Anuar juga berkata, Kanun telah menugaskan peguam-peguam untuk berada di tempat-tempat berhimpun yang telah dikenal pasti bagi memastikan kebebasan asasi untuk berhimpun tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kanun juga telah memaklumkan kepada rakyat tentang hak-hak mereka sebagai peserta dan juga jika berlaku tangkapan,” katanya yang juga naib ketua Pemuda Amanah Nasional.

Gabungan #TangkapMO1 digerakkan sekumpulan mahasiswa tempatan dan anak muda bagi mendesak penangkapan individu yang didakwa sebagai “Malaysian Official One”.

Perhimpunan itu akan diadakan di dua kawasan iaitu di Pusat membeli belah Sogo dan Masjid Negara.
Peserta merancang untuk berarak dari dua tempat itu ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang esok.

Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa menangkap "Malaysia Official One" yang dinamakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam tuntutan saman sivil berhubung dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu lalu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pihak penganjur jika meneruskan himpunan tersebut di Dataran Merdeka ekoran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan tempat itu digunakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz berkata DBKL menyediakan kawasan lain iaitu di Padang Merbok untuk perhimpunan itu.

Bagaimanapun jurucakap Gabungan #Tangkap MO1 Anis Syafiqah Md Yusof menegaskan, mereka bertekad untuk meneruskan himpunan tersebut di Dataran Merdeka.

Kumpulan itu juga berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menjayakan himpunan ini.

Tiada ulasan: