Ahad, 14 Ogos 2016

Skandal 1MDB: Peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah perlembagaan

 WAN ANWAR WAN IBRAHIM
 
 
Kuasa Yang Di Pertuan Agong boleh digunakanKuasa Yang Di Pertuan Agong boleh digunakan


Kita memandang serius tindakan yang diambil oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat merampas harta bernilai USD1 Bilion bersamaan dengan RM4 bilion yang dipercayai dibeli menggunakan duit yang dicuri daripada syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) milik negara.

USD1 Bilion tersebut adalah hanya sebahagian daripada USD3 bilion yang didakwa telah dirompak daripada dana 1MDB yang telah dibawa ke dalam sistem kewangan Amerika Syarikat secara haram dan seterusnya melanggar undang-undang negara tersebut.

Lebih menyedihkan, dalam laporan setebal 136 muka surat berkenaan hasil siasatan terhadap skandal tersebut, pihak Jabatan Keadilan (‘DOJ’) Amerika Syarikat tersebut juga telah mendedahkan bahawa ‘Malaysian Official 1’ adalah pihak yang dipercayai sebagai pemegang akaun AmPrivate Banking-MR yang telah menerima sebahagian pembayaran yang dianggarkan berjumlah USD681 juta bersamaan dengan RM2.6 bilion.

Laporan DOJ tersebut seterusnya mendefinasikan ‘Malaysian Official 1’ tersebut sebagai seorang penjawat awam atau pegawai tinggi kerajaan Malaysia yang mana juga memegang kedudukan berotoriti dalam 1MDB. ‘Malaysian Official 1’ tersebut juga dilaporkan sebagai mempunyai kaitan dengan Riza Aziz yang merupakan salah seorang watak utama dalam skandal tersebut. Maka ramai telah menyimpulkan bahawa individu yang paling memenuhi ciri-ciri dan definisi ‘Malaysia Official 1’ tersebut adalah YAB Perdana Menteri Malaysia, iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

Memandangkan Skandal 1MDB tersebut juga disiasat di negara-negara lain seperti Singapura, Switzerland, Hong Kong dan yang terbaru Luxemburg, maka ianya telah dicatatkan sebagai skandal kewangan terburuk negara dan mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Tindakan DOJ tersebut yang mengambil tindakan mahkamah untuk menyita dan mendapatkan semula aset-aset (‘civil forfeiture’) yang dikaitkan dengan penyelewengan 1MDB merupakan satu prosedur kes jenayah di Amerika Syarikat selaras dengan peruntukan 18 US Code (USC) 18 dan 1956. Oleh itu, skandal 1MDB tersebut telah diklasifikasikan sebagai satu kes jenayah di Amerika Syarikat.

Lebih malang lagi, apabila telah jelas laporan DOJ tersebut beserta bukti-bukti yang kukuh mengaitkan skandal 1MDB dengan Perdana Menteri, Peguam Negara masih lagi membisu daripada mengambil tindakan yang sewajarnya malah masih mengatakan bahawa bukti diperlukan untuk diambil tindakan lanjut.

Kita amat kecewa dengan keengganan Peguam Negara untuk bertindak dalam isu atau kes yang secara jelas telah membelakangkan kepentingan negara dan rakyat. Pendirian Peguam Negara tersebut adalah bercanggah sama sekali dengan peranan dan tanggungjawab jawatannya selaras dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan skandal 1MDB tersebut jelas telah menjejaskan reputasi dan kedaulatan negara dan untuk mengelakkan daripada ianya menjadi lebih parah, kita melihat Yang diPertuan Agong adalah antara pihak yang boleh memainkan peranannya untuk menangani situasi Persekutuan Malaysia yang semakin kritikal kini. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh Yang diPertuan Agong adalah peranan perundangan seperti mana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan (“Perlembagaan”) yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Perkara 145 (2) Perlembagaan memperuntukkan bahawa; “Adalah menjadi kewajipan Peguam Negara menasihatkan Yang diPertuan Agong…mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan menjalankan apa-apa kewajipan lain yang bercorak undang-undang, sebagaimana dari semasa ke semasa dirujukkan atau diberi kepadanya oleh Yang diPertuan Agong…, dan menjalankan tugas-tugas yang diberi kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini…”.

Maka, selaras dengan peruntukan Perlembagaan di atas, Yang diPertuan Agong boleh menitahkan untuk memanggil Peguam Negara dan mengarahkan supaya siasatan berkenaan skandal 1MDB kembali dijalankan berdasarkan laporan penuh DOJ tersebut dengan kerjasama sepenuhnya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (‘SPRM’).

Sekiranya Peguam Negara gagal untuk menurut seperti yang telah dititahkan, maka Yang diPertuan Agong boleh memecat Peguam Negara selaras dengan peruntukan Perkara 145 (6) dibaca bersama Perkara 125 (3) Perlembagaan dan melantik seorang Peguam Negara yang baru di bawah peruntukan Perkara 145 (1).

Dalam negara persekutuan Malaysia, Yang diPertuan Agong adalah pemerintah yang tertinggi selaras dengan peruntukan Perkara 39 Perlembagaan yang menyebut bahawa; “Kuasa pemerintah bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang diPertuan Agong…”

Memandangkan Perdana Menteri yang telah diwakilkan kuasa pemerintahan negara oleh Yang diPertuan Agong turut terkait secara langsung dalam skandal tersebut, maka Yang diPertuan Agong sebagai Pemerintah sebenar harus menitahkan beliau supaya meletakkan jawatan selaras dengan peruntukan Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan dan melantik seorang Perdana Menteri sementara dibawah peruntukan Perkara 43 (2) (a) untuk melakukan reformasi institusi secara keseluruhan sehingga pilihanraya umum yang akan datang.

Akhir sekali kita melihat dan percaya bahawa peranan Yang diPertuan Agong dalam menangani krisis terburuk dalam sejarah negara ini adalah amat penting dan mendesak bagi memulihkan kembali imej negara dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat dan keyakinan pelabur demi masa depan negara Malaysia yang gemilang.

*  Wan Anwar Bin Wan Ibrahim merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang jugaTimbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara 


Tiada ulasan: