Ahad, 21 Ogos 2016

Siapa sahaja boleh minta SELCAT diadakan - Xavier

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sesiapa sahaja boleh menulis surat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bagi meminta diadakan pendengaran awam berhubung sesuatu dakwaan.
 
Bagaimanapun menurut Ahli Jawatankuasanya, Dr Xavier Jayakumar, keputusan akhir tetap bergantung kepada jawatankuasa itu untuk menentukan sama ada mahu mengadakan pendengaran awam atau sebaliknya selepas melalui prosedur tertentu.     
 
"Itu keputusan Selcat, ada prosesnya. Sesiapa pun boleh menulis kepada Selcat untuk minta pendengaran tapi keputusan itu akhir sekali bergantung kepada Selcat," kata beliau kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang pegawai khas kepada Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim yang menulis surat kepada Pengerusi Selcat, Hannah Yeoh untuk meminta satu pendengaran awam bagi membincangkan isu ubah status tanah bernombor lot 68054 yang dakwanya milik Paya Indah Wetlands. 
 
Pegawai berkenaan, Abdul Razak Ismail terdahulu mendedahkan keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 17 Februari 2015 terlepas pandang bahawa tanah yang diubah status itu adalah milik Paya Indah Wetlands.
 
Sehubungan itu Abdul Razak bertegas, sesi pendengaran awam itu penting bagi memperbetulkan kekhilafan yang berlaku di samping mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu.
 
Bagaimanapun menurut Xavier yang juga ADUN Seri Andalas, kontroversi tanah Paya Indah Wetland seperti yang mula dibangkitkan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard itu sudah pun dijawab oleh kerajaan negeri. 
      
"Saya ingat kerajaan negeri sudah jawab isu ini semua dengan data dan fakta dan sebagainya. Apa yang kita lihat yang dikeluarkan oleh Chegubard itu fitnah saja," katanya. 
 
Kontroversi tukar status tanah Paya Indah Wetlands mula didedahkan Chegubard dengan mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali memulakan usaha pelengkungan semula (ubah status tanah) selepas mengambil alih jawatan menteri besar daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Februari 2015.
 
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong kemudiannya menyangkal dakwaan Chegubard dan mengatakan kerajaan negeri tidak melakukan pelengkungan semula sebidang tanah pertanian di Paya Indah Wetlands. 
 
Malah jelas Elizabeth, tanah lot yang sebenarnya milik Paya Indah Wetlands adalah bernombor 4827 dan 3974 dan bukannya lot 68054 seperti yang didakwa Chegubard.
 
Beliau kemudiannya menyifatkan dakwaan Chegubard sebagai palsu yang bertujuan mencemar imej kerajaan negeri. 
 
Chegubard dalam reaksi balasnya mendakwa Elizabeth dan kerajaan negeri sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat Selangor.
 
Bekas pemimpin PKR Rembau itu kemudiannya nekad akan membuat laporan kontroversi itu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 Ogos depan.
 
 

Tiada ulasan: