Ahad, 14 Ogos 2016

Serah Diri Atau Tunggu Kami - KP SPRM

Dzulkifli Ahmad.
 
MSTAR ONLINE
 
 
PUTRAJAYA: Hentikan rasuah dan salah guna kuasa sekarang atau bersedia berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

Itu amaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad, 48, yang sekaligus turut membuka ruang kepada pelaku rasuah untuk tampil 'menyerah diri' secara sukarela bagi memungkinkan hukuman lebih ringan dipertimbangkan terhadap mereka.

"Datang sekarang, ini peluang yang saya buka, datang bila-bila masa sebelum diambil tindakan. Kalau sudah diambil tindakan baru nak jumpa kami, tak payahlah. Kalau dah rasa 'panas', datanglah.

"Kita akan kaji dan bincangkan dengan pihak Peguam Negara apa tindakan yang boleh diambil (untuk diringankan hukuman) kerana soal pendakwaan adalah di bawah tanggungjawab mereka," katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya, di sini pada Sabtu.

Tawaran itu walau dilontarkan dalam nada penuh toleransi, namun ketegasan bos baharu agensi rasuah negara itu jelas kelihatan apabila menyifatkan tidak akan 'pilih bulu' dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab suruhanjaya itu dalam usaha mencegah jenayah rasuah di negara ini.

Dzulkifli yang mengambil alih jawatan itu menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed bermula 1 Ogos lepas berkata fokus utama beliau sebaik dilantik menerajui SPRM ialah untuk menekankan peranan suruhanjaya itu dalam usaha meningkatkan integriti sama ada di sektor awam atau swasta.

Katanya dalam melaksanakan peranan itu, tidak mustahil amaran yang diutarakan itu diterjemahkan dengan serbuan di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta yang berkaitan jika terdapat sebarang bukti pelakuan rasuah.

"Nantikan saja dalam masa terdekat ini, akan ada 'salam perkenalan' daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu," katanya.

Katanya tempoh dua minggu (sejak mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM) sudah cukup untuk beliau memahami mengenai suruhanjaya itu dan sudah sampai masanya untuk melihat hasil perlaksanaannya.

"Saya seorang lelaki yang kurang berkata-kata. Saya tidak banyak bercakap, saya seorang yang gemar melakukan dan mengambil tindakan. Saya ingin beri nasihat dan amaran kepada yang terlibat rasuah agar berhenti serta-merta.

"Ini bukan amaran kosong. Kepada sesiapa yang selama ini mempunyai pendapatan yang lain daripada gaji yang sepatutnya diterima, iaitu rasuah, sila hentikan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: