Khamis, 25 Ogos 2016

Rayani Air Digesa Tarik Balik Surat Berhenti Kerja

 
 
PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menggesa Rayani Air supaya menarik balik surat pemberhentian kerja kepada kakitangannya yang dikeluarkan pada minggu lalu.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin mendakwa, surat tersebut bertarikh 28 Jun lalu dan syarikat itu juga telah mengeluarkan surat pekeliling pada tanggal 8 April 2016.

Dakwanya, surat itu ternyata mempunyai kecacatan dan berunsur ‘mala fide’ atau berniat jahat.

“Kami memandang serius dengan cara pemberhentian pekerja oleh pihak Rayani Air kerana ia tidak tertakluk dengan syarat-syarat di dalam Akta Kerja 1955.

“Surat pekeliling pemberhentian yang dikeluarkan pada 28 Jun dan 8 April itu didapati bercanggah. Ini akan menjejaskan proses untuk pekerja membuat aduan ke Jabatan Perusahaan Perindustrian dalam tempoh 60 hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Surat pemberhentian kerja Rayani Air bertarikh 28 Jun didakwa hanya dikeluarkan dan diterima pada minggu lalu.
 
Ismail berkata, Rayani Air juga mengeluarkan surat tersebut tanpa syarat notis pemberhentian dua bulan dan tidak menyatakan jumlah pampasan kepada pekerja yang diberhentikan.

“Ternyata kandungan surat pemberhentian kerja itu mengelirukan,” katanya sambil menambah Rayani Air berjanji untuk membuat semua bayaran tunggakan gaji serta elaun pekerja apabila pekerja menyerahkan semula barang kepunyaan syarikat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Rayani Air tampil untuk membuat penjelasan secara terbuka agar isu tersebut dapat diselesaikan secara baik.

Difahamkan, surat pemberhentian kerja yang bertarikh 28 Jun itu hanya dikeluarkan pihak majikan dan diterima pekerja pada minggu lalu.

Notis pekeliling yang dikeluarkan Rayani Air pada 8 April lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu mStar Online bahawa majikan Rayani Air perlu memberikan surat pemberhentian kerja mengikut tarikh ia dikeluarkan.

“Majikan tidak boleh mengeluarkan surat menggunakan tarikh yang sudah lepas,” katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan berhubung surat pemberhentian kerja, Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan berkata, surat yang bertarikh 28 Jun itu dihantar pekerja pada 17 Ogos lalu.

Jelasnya, surat itu sepatutnya dikeluarkan pada Jun lalu tetapi tertangguh disebabkan ketiadaan kakitangan di bahagian sumber manusia bagi urusan pengeluaran surat berkenaan, dan ia hanya diselesaikan sepenuhnya pada minggu lalu sebelum dihantar kepada pekerja.

“Bagaimanapun, kita mempunyai notis pekeliling yang kita keluarkan pada 8 April lalu, yang menyokong kepada surat pemberhentian kerja itu,” kata Karthiyani.

Tiada ulasan: