Selasa, 9 Ogos 2016

Polis cekup suspek kedua cuba samun stesen minyak di Setapak

 
 
PDRM
PDRM
 
 
Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki pemilik pistol yang digunakan dalam satu kejadian cubaan menyamun di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang, di sini, petang semalam.
 
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Setapak pada pukul 11.30 malam tadi.
 
Katanya, suspek ditahan berikutan maklumat hasil soal siasat ke atas suspek samun yang ditangkap orang ramai di lokasi kejadian. 
 
"Kita menangkap suspek selepas suspek pertama mendakwa pistol jenis Revolver yang digunakan untuk samun sebenarnya dipinjamkan oleh rakannya.
 
"Hasil siasatan polis mendapati suspek kedua mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan pemilikan senjata berjadual. 
 
"Pemeriksaan lanjut polis mendapati nombor siri pada pistol itu telah dikikis dan senjata itu kini dianalisa di makmal forensik untuk mendapatkan nombor siri yang dipadamkan," katanya dalam satu sidang media di sini.
 
Tambah beliau, suspek pertama direman selama tujuh hari dan suspek kedua pula ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.
 
Dalam perkembangan sama, tambah beliau, dalam kejadian sekitar pukul 6 petang itu, suspek yang bersenjatakan pistol pergi kaunter pembayaran yang terletak di dalam stesen minyak sebelum mengacukan pistol ke arah seorang pekerja warga Bangladesh.
 
Katanya, suspek terus mengugut pekerja itu untuk menyerahkan satu balang berisi wang tunai tetapi pekerja itu enggan berbuat demikian. 
 
Beliau memberitahu, keengganan pekerja itu memberi kerjasama menyebabkan suspek hilang sabar sebelum bertindak merampas balang yang mengandungi wang hasil jualan kad pra bayar berjumlah RM350 sebelum mereka bergelut.
 
"Ketika itu, dua lagi rakan sekerja mangsa Bangladesh itu yang berada di situ menerkam suspek dari arah belakang sebelum suspek melepaskan tiga das tembakan 
 
"Satu das tembakan itu mencederakan pinggang kiri salah seorang pekerja tersebut.
 
"Ekoran daripada pergelutan itu juga, suspek patah kaki kiri sebelum berjaya dicekup dengan bantuan orang awam di situ," ujarnya sambil mengesahkan suspek dan mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) .
 
 

Tiada ulasan: