Selasa, 16 Ogos 2016

Penggubahan wang haram: 'Datuk Seri' direman 7 hari

Penggubahan wang haram: 'Datuk Seri' direman 7 hari
Seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bergelar Datuk Seri direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, bagi membantu siasatan kesalahan menyalahgunakan kuasa, rasuah serta penggubahan wang haram. - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah reman seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung siasatan kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman berakhir 21 Ogos ini.

Pengarah eksekutif pengurusan projek itu ditahan di pejabatnya jam 3.07 petang semalam.

Suspek berusia 54 tahun bergelar Datuk Seri itu ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Di bawah kesalahan seksyen Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi Akta Penggubahan Wang haram pula, boleh penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana  yang lebih tinggi.

Suspek ditahan sesulan satu serbuan yang diadakan serentak semalam di tiga buah negeri termasuk di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Serbuan dibuat susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tiada ulasan: