Ahad, 28 Ogos 2016

Pengarah urusan syarikat direman disyakki seleweng RM15 juta

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang lagi pengarah urusan sebuah syarikat yang menjadi proksi kepada sebuah syarikat penerbitan, direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM15 juta. 
 
Perintah itu yang dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman selepas suspek berusia 42 tahun itu dibawa ke mahkamah terbabit pada jam 10 pagi, bermula hari ini hingga 2 September. 
 
Lelaki berasal dari Kuantan, Pahang itu ditahan ketika hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk memberi keterangan berkaitan kes terbabit, kira-kira jam 11.09 malam tadi. 
 
Nik Isfahanie turut membenarkan permohonan SPRM untuk melanjutkan tempoh reman empat lagi lelaki berhubung kes sama selama dua hari bermula esok hingga 30 Ogos. 
 
Mereka ialah pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk berusia 48 tahun, bekas pegawai bank sama, seorang pemilik syarikat penerbitan dan pekerjanya. 
 
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. 
 
Semalam mahkamah sama memerintahkan seorang pengarah sebuah syarikat penerbitan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.
 
 

Tiada ulasan: