Selasa, 16 Ogos 2016

Pemuda mahu janji ditunaikan

Khairolnezam Shaari
Khairolnezam Shaari


KUALA PILAH – Umno Bahagian Kuala Pilah mendesak pemimpin pusat merealisasikan janji-janji pembangunan infrastruktur dalam daerah ini bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Pemudanya, Khairolnezam Shaari berkata, gesaan itu dibuat berdasarkan kekuatan lima Dun dan satu parlimen dalam BN di daerah ini sudah cukup membuktikan Parlimen Kuala Pilah sebagai deposit tetap BN.

Justeru, katanya, pelbagai bentuk pembangunan perlu dibina di daerah ini terutama bagi mengatasi masalah jalan raya yang sering sesak pada hujung minggu dan lebih parah pada musim perayaan.

Katanya, perancangan jalan ke Kampung Talang ke Kampung Beting, jalan Ulu Bendul ke Terachi dan Kuala Pilah perlu diteruskan demi keselesaan masyarakat di daerah ini.

"Bukan itu sahaja, pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Pilah dan isu kesempurnaan kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kampung Beting perlu dipertingkatkan dari sudut pembangunan supaya lebih efisien.

"Kami juga meminta kepada pihak berkaitan agar menyegerakan pemasangan pendingin hawa di Dewan Kompleks Rakan Muda Melang kerana di sini lokasi anak muda berhimpun untuk beriadah pada hujung minggu, selain sering digunakan dalam pelbagai majlis keramaian serta aktiviti yang pastinya padat pada setiap tahun.

"Keselesaan perlu diutamakan bagi menarik lebih ramai pengunjung dan anak muda melaksanakan aktiviti riadah di sini," katanya di Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah di Dewan Kompleks Rakan Muda Melang, kelmarin.

Mesyuarat itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim.
Hadir sama, Ketua Umno Bahagian, Datuk Ismail Lasim; timbalannya, Datuk Adnan Abu Hassan dan Ketua Wanita Umno, Datuk Norhayati Omar.

Selain itu, mengulas mengenai penubuhan Parti Bersatu, Khairolnezam berkata, Pemuda memandang serius segala bentuk ancaman terhadap Umno.

"Lebih-lebih lagi ancaman yang berskala besar seperti penubuhan Parti Bersatu. Pemuda sentiasa bersedia dengan jati diri dan daya juang yang cukup mantap serta berimpak tinggi dalam memastikan sasaran Bersatu tidak tertuju kepada pengundi baharu.

"Saya lihat, parti ini lebih kepada testing market kepada golongan seusia dengan kelompok penaja mereka. Penajaan parti yang berasaskan emosi, tidak kekal lama. Ia cuma satu gelombang besar yang akan datang dan akan pergi begitu sahaja," katanya.


Tiada ulasan: