Rabu, 17 Ogos 2016

Pembantu rumah bukan Islam disekat?

Pembantu rumah bukan Islam disekat?
Gambar hiasan
 

JABATAN Imigresen dilaporkan mengeluarkan arahan terbaru dengan melarang majikan Islam mengambil pembantu rumah bukan Islam, lapor China Press.

Agensi-agensi pembantu rumah yang membantu melakukan proses permohonan untuk majikan Islam mengadu permohonan berkenaan ditolak disebabkan peraturan terbaru itu.

Bagaimanapun, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) ketika memberikan reaksi, memberikan jawapan yang berbeza.

Menurut Timbalan Presiden Papa, Foo Yong Hooi, dasar tersebut sebenarnya telah lama berkuat kuasa sejak lebih 10 tahun lalu, namun mungkin ia agak longgar dari segi penguatkuasaan.

“Sebelum itu ada majikan Islam berjaya mendapatkan khidmat pembantu rumah bukan Islam. Ini mungkin berpunca daripada syarat yang tidak ketat dikenakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berpendapat, dasar itu diharapkan tidak akan menjejaskan sektor pengambilan pembantu rumah di negara ini dan meminta semua pihak tidak menggembar-gemburkan isu tersebut.

Sementara itu, Presiden Mama, Engku Ahmad Fauzi pula terkejut dan keliru dengan dasar baharu itu dan beranggapan ia adalah keputusan yang 'misteri'.

“Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menjelaskan, ia bukanlah dasar yang baru, namun pihak majikan tetap mempertikaikan apakah tujuan menguatkuasakan dasar tersebut yang mungkin boleh menimbulkan masalah untuk mengambil pembantu rumah,” katanya.

Jelas beliau, pegawai Jabatan Imigresen menegaskan ia adalah peraturan lama, namun persatuannya mendapati pihak berkuasa tidak pernah menjalankan tindakan penguatkuasaan.

“Pihak persatuan kami akan sokong keputusan yang dibuat kerajaan. Harap Jabatan Imigresen tampil memberi penjelasan dan berbincang dengan pihak persatuan mengenai polisi tersebut. Biarlah kami memahami dengan lebih jelas,” kata Engku Ahmad.

SPRM perlu lebih agresif

Tindakan drastik yang dilakukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad dengan membeku, menyita atau melucutkan hak harta yang diperoleh melalui perbuatan rasuah perlu disokong.

Lidah Pengarang Sin Chew Jit Poh menulis, walaupun baru dua minggu dilantik memegang jawatan tersebut, Dzulkifli telah bertindak dengan tegas dalam membendung perlakuan rasuah di negara ini.

Akhbar ini berpendapat, SPRM perlu lebih agresif dalam usaha membendung gejala rasuah memandangkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menyenaraikan Malaysia menduduki tangga ke-54 daripada 168 negara pada tahun lalu.

Selama ini, tindakan SPRM dikatakan hanyalah dikenakan ke atas 'ikan bilis' sehingga menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap integriti badan tersebut.

Oleh itu, kejayaan atau kegagalan SPRM selain usaha pegawai-pegawainya sendiri, kerjasama daripada orang ramai turut diperlukan bagi melahirkan sebuah negara yang bersih daripada sebarang perbuatan rasuah dan penyelewengan.

Chang Yeow tidak mahu konfrontasi

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menegaskan, beliau tidak sedia berkonfrontasi dengan pucuk pimpinan parti, tulis Sin Chew Jit Poh.

Katanya, perpaduan parti perlu diutamakan dan semua pihak perlu tahu bahawa musuh utama Gerakan ialah DAP dan bukan ahli partinya sendiri.

“Oleh itu, pusat parti juga perlu sedar keadaan ini. Jika tidak, kedua-dua pihak tidak memperoleh apa-apa kelebihan,” jelas Chang Yeow ketika mengulas hubungan beliau dengan pusat parti yang dikatakan dalam keadaan genting.

Menurutnya, selama ini beliau tidak gemar memburuk-buruk pusat parti secara terbuka, namun akibat hilang sabar, beliau terpaksa bertindak dengan harapan pihak lawan tidak lagi terus berpolitik dan mempermainkannya.

“Sayalah pemimpin Gerakan yang paling faham keadaan parti di Pulau Pinang berbanding dengan pemimpin lain. Saya harap ketika parti sedang bersiap sedia hadapi PRU akan datang, jangan ada pemimpin parti yang cuba menikam dari belakang,” terang Chang Yeow.


Tiada ulasan: