Selasa, 9 Ogos 2016

PAS tidak sokong, punca Ahmad Said gagal bawa usul tak percaya pada MB Terengganu

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Satu-satunya faktor yang menggagalkan usul undi tidak percaya oleh ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman adalah tidak dapat sokongan pembangkang terutamanya PAS.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata PAS menerusi presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak dari awal menyatakan betapa parti itu tidak akan melibatkan diri dengan krisis kepimpinan Umno Terengganu.
 
Hadi berkata PAS tidak akan menangguk di air yang keruh dan meminta Umno negeri itu menyelesaikan segera pertikaian dalaman parti mereka.
 
"Paling utama kenapa usul undi tidak percaya tidak dibawa oleh Datuk Seri Ahmad Said kerana beliau tahu bahawa beliau tidak dapat sokongan parti pembangkang terutama sekali PAS.
 
"PAS menyatakan pada awal lagi mereka tidak mahu Ahmad Said apabila dikatakan kalau keluar Umno akan diterima sebagai ahli PAS jadi itu sebab utama kenapa tidak berlaku usul undi tidak percaya walaupun dikatakan berita khabar angin beliau akan melakukannya," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Bagaimanapun, pendirian yang dilontar Hadi tidak senada dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
 
Kedua-dua tokoh ulama itu berkata PAS bersedia untuk mengambil alih Terengganu dan sedia menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif, jika ia benar-benar dibawa Ahmad Said.
 
Malah Nik Zawawi menegaskan pendirian itu bukanlah pendapat peribadi Tuan Ibrahim sebaliknya ia adalah pegangan rasmi PAS.
 
Tambah kusut, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan Ahmad Said untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.
 
Takiyuddin senada dengan Hadi, memilih untuk menukar sesebuah kerajaan menerusi cara demokrasi menerusi pilihan raya umum (PRU).
 
Mengulas lanjut, Azmi menambah PAS belum bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.
 
"Apa yang berlaku empat bulan lepas ketika pertama kali menyatakan usul tidak percaya di DUN Terengganu dan hari ini juga dikatakan sama yang sebenarnya tiada sokongan daripada parti pembangkang.
 
"Kita lihat PAS itu sendiri tidak mahu melihat Pilihan Raya Negeri dilakukan kerana mereka juga belum bersedia kerana ini mereka memikirkan membuang masa dan wang sahaja," katanya lagi.
 
Ahmad Said sebelum ini mengugut untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif dan menimbang untuk keluar parti jika terpaksa seraya berkerjasama dengan PAS.
 
Ujarnya Ahmad Razif lemah dan tidak layak memegang jawatan sebagai menteri besar.
 
Bagaimanapun, Ahmad Said yang hadir pada sidang DUN Terengganu hari ini memberitahu beliau berseorangan dan mustahil untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif.
 
DUN Terengganu hanya bersidang separuh hari, sebelum melabihkan tirainya sekitar jam 12.30 tengahari, hari ini.
 
 

Tiada ulasan: