Selasa, 16 Ogos 2016

Pas dakwa BN gagal jadikan Malaysia sejahtera

Malaysia


SHAH ALAM – Pas Kedah mendakwa kerajaan pimpinan BN sejak lebih lima dekad lalu gagal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sejahtera untuk rakyatnya.

Sebaliknya, Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, rakyat negara ini terpaksa menanggung pelbagai beban dan kepayahan selain negara ini yang digugat pelbagai ancaman terhadap keharmonian, keamanan, kestabilan serta kedaulatannya.

“Rakyat sudah penat, negara semakin sakit dengan kemelut dan hiruk pikuk politik retorik yang disulam oleh keparahan pelbagai skandal, salah urus tadbir, penyelewengan dan pengkhianatan dalam perjalanan pemerintahan.

“Maka, gagasan ini (Gagasasan Sejahtera) lahir tidak sekadar menyelamatkan pertiwi dan menunaikan tanggungjawab demokrasi tetapi menjadi solusi pemulihan yang akan mengangkat kembali dan meneguhkan negara di landasannya menurut acuan Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, Pas mengumumkan kerjasama politik parti itu dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang sebelum ini membentuk blok politik ketiga kini dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Dalam pada itu, Fakhruddin berkata, Gagasan Sejahtera yang dibentuk itu merupakan permulaan baharu untuk sebuah kehidupan lebih bahagia dan menjadi aspirasi murni rakyat Malaysia demi masa depan negara ini.

“Impian ke arah negara Malaysia yang sejahtera dan mencapai kemakmuran dalam segala aspek memerlukan dukungan bersama seluruh rakyat. Tunjangnya bermula oleh pemerintahan yang berakar dari dasar negara nan teguh serta menjulang prinsip.

“Dengan itu, Pas Kedah menyeru keterbukaan dan kesediaan seluruh rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya serta entiti masyarakat dan NGO-NGO untuk menjulang hasrat menjadikan Gagasan Sejahtera sebagai wadah kita bersama,” katanya.


Tiada ulasan: