Ahad, 28 Ogos 2016

Parti Pribumi bakal hadapi cabaran sokongan orang Johor

MALAYSIA GAZETTE





Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein percaya tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh isu Bangsa Johor baru-baru ini akan menyebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuhnya berdepan cabaran mendapatkan sokongan orang Johor.

Menurutnya, ini berikutan rakyat Johor lebih mementingkan semangat bangsa dan institusi Raja-Raja dalam memperjuangkan hal rakyat serta parti dan tindakan itu dilihat mungkin 'mencuit' (mengguris) hati mereka.

"Silap hari bulan, partinya tidak diterima seinci pun ruang di sini (Johor) dan oleh itu, terpulang kepada beliau sama ada hendak meminta maaf atau sebaliknya," kata Hishammuddin selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang, di sini hari Sabtu.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau hairan dengan tindakan Dr Mahathir yang mempersoal konsep Bangsa Johor, sedangkan ia disifat tidak melanggar undang-undang.

"Ingin kita tegaskan UMNO Johor sentiasa mempunyai disiplin tinggi dan meletakkan parti lebih tinggi dari segala-galanya dan berikutan itu, jangan sesekali beliau berani menyentuh soal Bangsa Johor, menyentuh soal Sultan Johor.

"Beliau tidak faham maksud sebenar konsep itu dan adalah tidak keterlaluan juga jika kami, UMNO di Bahagian Pengerang memberitahu bahawa kami tidak menyesal Tun Mahathir keluar daripada parti," kata Azalina, yang juga Ketua UMNO bahagian Pengerang.-- BERNAMA


Tiada ulasan: