Isnin, 8 Ogos 2016

Mufti Perak: ‘Tidak perlu bincang’ lagi, Pokemon Go sudah jelas haram


DETIK DAILY  




IPOH — Dikhuatiri mempunyai unsur judi, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menggesa semua negeri mengharamkan permainan maya di telefon, Pokemon Go.

“Perkara berkaitan pengharaman permainan ini saya ada ulas sejak minggu lepas lagi. Sebarang perkara yang melibatkan perjudian dan melalaikan, ia adalah haram.

“Bagi saya, pengharaman permainan ini perlu dibuat dan melibatkan semua negeri di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurutnya, tindakan itu perlu dibuat memandangkan permainan berkenaan dibimbangi mempunyai unsur perjudian selain mampu melalaikan masyarakat, termasuk umat Islam.

Beliau berkata perkara yang sudah sedia haram juga tidak perlu dibincangkan di peringkat jawatankuasa fatwa negeri seperti hukum yang jelas terhadap arak.

“Tidak perlu perbincangan sebab permainan itu sudah jelas haram dan bertentangan dengan Islam,” katanya.

Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos mengkaji permainan ini, yang menjadi kegilaan dunia sejak ia dilancarkan awal bulan lalu di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

Pokemon Go, yang boleh dimainkan di Malaysia mulai semalam, dilarang untuk umat Islam atas faktor maslahah dan kemudaratan.

“Mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah, yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat.

“Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku — pengintipan pihak luar, pencerobohan ruang peribadi, faktor keselamatan seperti kemalangan, kelalaian dan sebagainya,” kata Datuk Zulkifli Mohamad kelmarin.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan permainan realiti berperantara Pokemon Go lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.

Semalam, beliau dilaporkan berkata kajian Jabatan Mufti Pulau Pinang sebelum ini juga menunjukkan aspek negatif permainan itu melebihi perkara positif.

Tiada ulasan: