Jumaat, 19 Ogos 2016

MTUC pandang serius isu diskriminasi pekerja hamil

ibu hamil
Wanita hamil - Gambar hiasan


SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius terhadap kewujudan diskriminasi dan penindasan yang dilakukan majikan ke atas pekerja wanita hamil dalam sektor swasta.

Setiausaha Agungnya, N. Gopal Krishnam berkata, diskriminasi yang dikatakan termasuk isu pembuangan kerja, penangguhan kenaikan pangkat dan lanjutan tempoh percubaan dalam pekerjaan masing-masing.

Tidak bersetuju dengan cara majikan, N. Gopal berkata,semua tindakan tersebut bertentangan dengan hak yang terkandung dalam Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menerima aduan dari kesatuan gabungan berkaitan perkara-perkara sedemikian yang telah dibawa ke perhatian majikan terbabit dan juga Kementerian Sumber Manusia.

“Kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) juga membuktikan masalah yang sama wujud dengan ketara. Isu ini tidak patut wujud ketika negara sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dalam menerajui era globalisasi, di samping kesan signifikan dari ledakan teknologi maklumat,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Majikan sepatutnya menyediakan kemudahan yang sesuai bagi meningkatkan peratusan wanita yang bekerja dalam sektor swasta.

“Sekiranya kemasukan wanita yang bekerja disekat dari awal, ia akan menjejaskan usaha kerajaan untuk menambah peratusan wanita di peringkat membuat dasar bagi jangka masa panjang dan negara akan kehilangan pekerja-pekerja berkualiti dan produktif,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat satu dasar atau undang-undang tegas perlu digubal bagi mengelakkan isu dan masalah yang sama berulang.

“Sekiranya isu ini tidak diatasi secara perundangan ia boleh menjurus kepada kebergantungan berterusan terhadap pekerja-pekerja asing, sekali gus merugikan negara untuk jangka masa panjang.

“Kami sedia membantu mana-mana pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan. Kami harap pekerja-pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan akan hubungi ibu pejabat MTUC untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat yang sewajarnya,” ujarnya.


Tiada ulasan: