Ahad, 14 Ogos 2016

Lokum kerja sambilan bayar pinjaman pengajian

MALAYSIA GAZETTE


Dr. Ting Teck Chin
Dr. Ting Teck Chin


Doktor yang didakwa berhubung kes kematian menantu Timbalan Perdana Menteri semasa menerima rawatan pergigian adalah seorang lokum dari hospital awam.

China Press melaporkan, doktor tersebut merupakan pakar sakit puan di sebuah hospital kerajaan tetapi bekerja secara sambilan atau sebagai lokum di pusat perubatan swasta kerana mahu menambah pendapatan bagi melangsaikan pinjaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Seorang doktor hospital awam memberitahu akhbar itu, gaji yang tidak banyak mendorong ramai doktor termasuk doktor pakar menjadi lokum di pusat perubatan swasta bagi menambah pendapatan.

Katanya, berlainan dengan persepsi ramai, gaji doktor hospital awam sebenarnya tidak sebanyak yang disangkakan.

"Siapa yang tidak mahu jika ada peluang untuk menambah pendapatan?

"Apatah lagi kerja sebagai lokum menjanjikan pendapatan yang lumayan.

"Sebagai contoh, jika satu pembedahan menerima bayaran RM8,000, lokum yang bertanggungjawab dalam pembiusan akan memperoleh RM2,000 atau kira-kira 10 peratus daripada bayaran pembedahan," katanya.

Menurutnya, sesetengah mahasiswa perubatan yang bertuah akan mendapat biasiswa penuh, tetapi selebihnya menerima pinjaman.

"Kawan saya meminjam RM150,000 bagi melanjutkan pengajian dalam perubatan dan dia perlu membayar lebih RM300 setiap bulan.

"Dengan kadar bayaran balik itu, kawan saya nampaknya perlu membayar untuk jangka waktu yang panjang," katanya sambil menambah kos RM150,000 untuk pengajian perubatan adalah dianggap murah.

Menurut doktor itu lagi, gaji lokum adalah berbeza mengikut tempat dengan purata RM40 sejam tetapi ada pihak yang menawarkan RM80 sejam.

"Jika kamu bekerja sebagai lokum selama lima jam, maka sebanyak RM400 sudah berjaya diperoleh," katanya.

Dr. Ting Teck Chin pada Jumaat didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi di Pusat Pakar Pergigian Imperial di Bangsar, ibu negara.

Pusat perubatan itu didakwa gagal memastikan individu yang berkhidmat dalam prosedur radiologi dan bius secara IV Sedation ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berkaitan.

Syed Alman Zain yang merupakan menantu kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak sedarkan diri ketika menjalani pembedahan gigi dan kemudian disahkan meninggal dunia Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Tiada ulasan: