Khamis, 11 Ogos 2016

KEADILAN lancar HEAP, bantu pelajar buat rayuan

OLEH AFIX REDZUAN


 Sim Tze Tzin


PETALING JAYA: KEADILAN melancarkan Portal Penasihat Pendidikan Tinggi (HEAP) bagi membantu pelajar gagal mendapatkan tawaran IPTA atau ditawarkan kursus luar pilihan.

Pengarah Strategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata laman web ini dibuka kepada semua pelajar lepasan STPM atau setaraf dengannya yang ingin mengadu kepada Ahli Parlimen KEADILAN.

“Mereka hanya perlu mengisi borang aduan di laman HEAP, heap.keadilanrakyat.org.
“Sejurus menerima aduan pelajar, kami akan mengumpulkan data diterima untuk dianalisis,” katanya.

Tze Tzin berkata, rayuan kepada HEAP adalah kaedah tambahan sahaja dan tarikh tutup penghantaran aduan adalah 22 Ogos 2016.

Namun, pelajar diwajibkan merayu terlebih dahulu kepada UPU menerusi laman upu.mohe.goy.my sebelum tarikh berkenaan.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, beliau berkata pengambilan pelajar IPTA pada 2016 seramai 39,862 orang adalah terendah sejak 2013.

Katanya, penurunan ini disyaki berkaitan pemotongan Bajet IPTA yang mendadak dalam Bajet 2016.

“Pemotongan bajet disebabkan pengurusan ekonomi songsang di bawah Perdana Menteri akibat gagal mengawal hutang negara selain dilanda pelbagai skandal seperti 1MDB.

“Sebenarnya banyak IPTA sekarang dalam keadaan kegawatan bajet,” katanya.

Dalam Bajet 2016, Kerajaan Persekutuan memotong peruntukkan bajet IPTA sebanyak 16.48 peratus yakni RM7.31 bilion untuk pada 2016.

Penurunan sebanyak RM1.44 bilion dicatatkan berbanding RM8.75 bilion pada 2015.

“KEDILAN berpendapat, pendudikan generasi muda adalah yang paling penting dalam pembangunan negara.

“Kerajaan seharusnya meningkatkan Bajet IPTA kerana ia merupakan pelaburan yang bijak,” katanya.

Tiada ulasan: