Rabu, 17 Ogos 2016

Henti Jual Topi Keledar Kura-Kura

Gambar hiasan hasil carian Google.

MSTAR ONLINE
 
 
LARUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan disaran menghentikan penjualan topi keledar separuh atau lebih dikenali sebagai topi keledar kura-kura kerana ia membahayakan nyawa penunggang motosikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata pihaknya mendapati ramai penunggang motosikal yang gemar membeli topi keledar itu walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

"Selain daripada tindakan pihak berkenaan, orang ramai juga seharusnya mempunyai kesedaran dengan tidak membeli dan menggunakan topi keledar yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Selama, dekat sini pada Selasa.

Kempen tersebut diadakan bersempena Program Pemukiman Menteri Besar Perak di Parlimen Larut selama lima hari mulai hari ini.

Pada majlis itu, Zainol Fadzi turut mengedarkan 100 topi keledar, 100 jaket pantulan cahaya dan 30 topi keledar kanak-kanak kepada penunggang motosikal.

Ditanya mengenai kempen tersebut, Zainol Fadzi berkata ia merupakan antara usaha untuk mendidik masyarakat terutama penunggang motosikal dan pemandu kereta supaya mengutamakan keselamatan diri serta orang lain ketika di jalan raya.

"Kita dapati ada penunggang motosikal tidak memakai topi keledar dengan betul, manakala pemandu dan penumpang kereta pula tidak memakai tali pinggang keledar," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Zainol Fadzi berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan sebanyak RM15,000 untuk melaksanakan projek pendawaian elektrik baharu di 10 buah rumah golongan kurang berkemampuan dalam Parlimen Larut.

"Setiap rumah yang dipilih oleh ketua kampung menerima peruntukan sebanyak RM1,500 bagi pemasangan pendawaian elektrik," katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik pemasangan elektrik di Kampung Teluk Mas di sini.

Zainol Fadzi berkata bantuan dan projek pendawaian itu diadakan dari semasa ke semasa bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama Datuk Mohd Daud Yusoff berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM700 bagi setiap rumah di DUN berkenaan untuk pendawaian elektrik.

Katanya sejak projek itu dilaksanakan di DUN Selama pada 2004, sebanyak 78 buah rumah telah menerima manfaat.

Tiada ulasan: