Ahad, 7 Ogos 2016

Enam Exco Terengganu boikot DUN hanya khabar angin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 

KUALA TERENGGANU: Seorang Exco Terengganu hari ini menafikan spekulasi yang tersebar kononnya enam Exco kerajaan negeri akan memboikot Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok sebagai protes terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.  
 
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang sebaliknya berkata, ia hanyalah satu provokasi dan khabar angin yang berniat jahat untuk menghuru-harakan keadaan semasa.
 
"Tidak ada itu (enam Exco mahu pulaukan sidang DUN). Saya rasa itu hanya khabar angin dan provokasi. Ia tidak mungkin berlaku kerana tahap kesepaduan kami dalam kalangan wakil rakyat cukup tinggi.
 
"Kami sayang dan cintakan kerajaan ini serta negeri Terengganu. Tidak mungkin ada Exco yang akan melakukan perkara luar jangka seperti itu," katanya dipetik Berita Harian.
 
A Latiff sebelum itu hadir mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman merasmikan dan menyampaikan hadiah pada Pertandingan Pidato Transformasi Terengganu Baharu (TTB) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) 2016 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
 
Ketua Umno Bahagian Marang itu juga berkata, pihaknya yakin semua barisan Exco dan ADUN Barisan Nasional (BN) akan berdiri teguh bersama Ahmad Razif untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.
 
A Latiff turut menafikan wujud sebarang perbincangan atau pakatan antara kalangan Exco dan wakil rakyat untuk menggulingkan Ahmad Razif pada persidangan DUN esok. 
 
Ditanya mengenai keyakinannya sama ada persidangan DUN esok akan berjalan lancar, beliau menaruh harapan sidang DUN esok berjalan lancar dan tertib.
 
Malah, beliau berharap persidangan kali ini dapat memberi impak positif untuk kerajaan negeri.
 
 

Tiada ulasan: