MALAYSIAKINI
Selain
himpunan di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini, acara sama bagi
mendesak tindakan pada “Malaysian Official 1” akan turut diadakan di
Johor dan Sabah.
Kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai “Gabungan
#TangkapMO1” berkata perhimpunan di Kota Kinabalu akan diadakan sama
dengan acara di Kuala Lumpur pada 27 Ogos.
Manakala di Johor Bahru pula, menurut mereka, akan berlangsung lebih
awal pada 13 Ogos “sebagai kempen menuju perhimpunan kemuncak”.
Menyasarkan jumlah besar, jurucakap penganjur Anis Syafiqah Md Yusof
berkata pihaknya telah menyusun beberapa siri ceramah bagi menjelaskan
kepada masyarakat mengenai isu berkaitan 1MDB.
Ia, katanya, termasuk ceramah di Kelantan pada 13 Ogos, di Petak pada
20 Ogos, diikuti tempat-tempat lain seperti Pulau Pinang, Pahang dan
Kedah.
Gabungan itu juga merancang flashmob serentak di seluruh negara pada 19 Ogos.
Selain itu, kempen di Internet pula menyeru orang ramai menukar
gambar profil laman sosial masing-masing kepada logo kempen #TangkapMO1
yang boleh didapati melalui laman Facebook Tangkap MO1.
Anis berkata demikian dalam sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.
Selain mahu identiti M01 didedahkan, himpunan itu turut mahu individu itu dihadapkan ke muka pengadilan.
Dalam himpunan hujung bulan di ibu negara, mereka merancang berarak daripada beberapa tempat ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Terdahulu Jabatan Kehakiman (DOJ) memfailkan saman untuk menyita aset
bernilai kira-kira AS$1.5 bilion yang berkaitan dengan 1MDB.
Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 yang didakwa disalah guna dan aset
lain yang terlibat termasuk rumah mewah, karya seni, jet peribadi dan
kutipan filem Hollywood The Wolf of Wall Street.
Selain anak tiri perdana menteri, Riza Aziz dan jutawan kontroversi Jho
Low, nama M01 disebut 36 kali dalam saman sivil setebal lebih 100
halaman itu.
Pengkritik mendakwa M01 merujuk kepada Najib.
Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata DOJ
hanya menyebut MO1 dan tidak menamakan Najib kerana beliau tidak
terlibat atau menjadi sebahagian daripada siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan