Selasa, 9 Ogos 2016

Bos Jakim cuba main, jumpa Pokemon di masjid

MALAYSIAKINI


Walaupun mengakui bagus kerana membolehkan penggunanya beriadah, Tan Sri Othman Mustapha bagaimanapun berkata tempat-tempat ibadat tidak harus digunakan sebagai lokasi permainan.

Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang mencuba permainan itu sendiri, mendapati Pokemon turut berada di kawasan masjid dan surau.

"Permainan ini pada pendapat saya bagus kerana ia menggalakkan masyarakat beriadah sambil bersenam kerana memerlukan kita berjalan untuk mencari karektor tersebut, namun perlu ada hadnya," beliau dipetik sebagai berkata kepada Bernama hari ini.

Pada pendapat beliau, pembangun aplikasi itu tidak begitu sensitif terhadap pusat ibadat yang tidak sesuai dijadikan gelanggang permainan maya itu.

Othman berkata adalah tidak elok pergi ke tempat-tempat ibadat hanya untuk bermain permainan itu dan kadang kala mendatangkan mudarat.

"Kita lihat di luar negara ada pemain yang memasuki kawasan privasi seperti rumah orang dan kawasan larangan hingga ke tahap ada yang tercedera dan meninggal akibat permainan tersebut," katanya seperti dilaporkan agensi berita itu.

Tinjauan Bernama di Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya mendapati kedua-dua tempat itu diletakkan sebagai tempat 'PokeStop', untuk mendapat hadiah.

Kedua-dua tempat ibadat orang Islam itu turut dijadikan 'PokeGyM', platform yang digunakan sebagai medan pertarungan pemain yang mencapai tahap tertentu.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata permainan Pokemon Go perlu dijauhi jika membawa kemudaratan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan belum memutuskan untuk mengeluarkan pekeliling khusus berkaitan permainan Pokemon Go untuk penjawat awam.

Bagaimanapun, katanya, penjawat awam tidak dibenarkan bermain apa-apa permainan termasuk permainan dalam talian pada waktu bekerja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan berkata permainan maya itu akan dihalang penggunaannya jika mempunyai unsur perjudian dan pengintipan yang mengancam keselamatan negara.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula meminta pihak berkuasa mengkaji kesan buruk dan baik Pokemon Go dari aspek keselamatan dan sosial.



Tiada ulasan: