Khamis, 11 Ogos 2016

BN umum calon Speaker DUN Perak saat akhir kerana pergelutan dalaman?

Sivakumar-DAP

Roketkini.com


IPOH: DAP percaya tindakan Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di saat-saat akhir pengundian, mencerminkan pergelutan dalaman sedang berlangsung dalam parti itu.

Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangeswary, semalam, dipilih sebagai Yang Dipertua DUN Perak setelah memperolehi 30 undi berbanding calon Speaker dari Pakatan Harapan, V. Sivakumar yang memperoleh 24 undi, manakala empat Adun PAS memilih untuk berkecuali.

Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata, beliau percaya krisis yang dihadapi dua parti komponen BN, UMNO dan MIC akan berterusan walaupun pelantikan Speaker DUN negeri telah selesai.

“Saya juga tahu masalah dalaman parti MIC berhubung dengan pelantikan Speaker,” katanya dalam kenyataan hari ini tanpa menyatakan secara jelas masalah itu.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan turut memuji Adun Pakatan Harapan yang bersatu hati mengundi beliau meskipun tidak berjaya merampas semula kerusi Speaker DUN.

“Ahli-ahli Yang Berhormat dari Pakatan Harapan Perak telah sehati sejiwa telah mengundi saya semalam. Saya rasa amat bangga dan berterima kasih kerana semangat kesetiakawanan rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan Perak.

“Walaupun saya tidak berjaya merampas semula kerusi Speaker DUN Perak tetapi semangat dan komitmen pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Perak perlu dipuji.

“Saya yakin semangat dan komitmen ini akan membawa berkat kepada Pakatan Harapan Perak dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Sivakumar yang juga Naib Pengerusi DAP Perak pernah menyandang jawatan Speaker DUN Perak selama setahun bermula 2008 dan terpaksa melepaskan jawatannya pada tahun berikutnya ekoran krisis Perlembagaan di negeri itu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: