Khamis, 18 Ogos 2016

Biar SPRM siasat tuduhan MyWatch, kata KPN

 
Pengerusi MyWatch hari ini mendakwa abang Tan Sri Khalid Abu Bakar, Abdullah ialah salah seorang pengarah Akademi Menembak Unggul.


khalid-abu-bakar_sanjeevan_sprm_600


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar menutup mulut berhubung tuduhan dilemparkan kepadanya oleh Pengerusi MyWatch Datuk R Sri Sanjeevan yang menyatakan abangnya ialah pengarah dalam satu syarikat akademi menembak.

Sebaliknya, Khalid memilih untuk menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak akan komen. Biar SPRM siasat,” katanya kepada FMT.

Terdahulu hari ini, Sanjeevan membuat laporan kepada SPRM, mendakwa kemungkinan wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Khalid, di mana abangnya dikatakan pengarah Akademi Menembak Unggul.

Bagi menyokong tuduhannya, Sanjeevan memetik dokumen pendaftaran syarikat yang ditinggalkan di pejabatnya oleh seorang individu yang tidak dikenali.

Di dalamnya, ia menyatakan abang Khalid, Abdullah Abu Bakar ialah salah seorang daripada lima pengarah syarikat itu.

“Saya sudah menyerahkan satu set dokumen SSM kepada SPRM. Di dalamnya menyatakan akademi itu mempunyai modal berbayar RM400,000.

“Ia didaftarkan pada 1 November 2013, enam bulan selepas Khalid menjadi pegawai polis tertinggi negara.

“Kami menggesa SPRM menyiasat jika lesen operasi akademi itu dikeluarkan Khalid sendiri dan jika ia mendapat sebarang kontrak kerajaan,” katanya selepas membuat laporan itu.

Sanjeevan merujuk dakwaan Sarawak Report pada 22 April lalu yang anak perempuan Khalid, Juwiza dan iparnya, Mohd Isa Hussin adalah pemilik bersama syarikat senjata api, Nilai Arms and Ammunitions Sdn Bhd.

“Anak perempuannya didakwa menjual senjata api, manakala abangnya melatih orang cara menggunakan senjata api.

“Jadi, kami harap SPRM akan menyiasat dua syarikat yang dikaitkan dengan Khalid dan jika ia ada kaitan antara satu sama lain,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: