Jumaat, 19 Ogos 2016

Bekas CEO bank didenda RM600K kerana hutang RM175 juta

 
Datuk Ismail Zakaria tidak dipenjarakan kerana kini berkerusi roda selepas diserang strok.


zakaria


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman denda RM600,000 ke atas bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sime Bank Datuk Ismail Zakaria atas empat pertuduhan berkaitan kemudahan pinjaman berjumlah RM175 juta.

Suruhanjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman berkata mahkamah hanya mengenakan hukuman denda terhadap Ismail kerana beliau kini berkerusi roda selepas diserang strok.

Karim berkata jika Ismail gagal membayar denda itu, beliau perlu dipenjarakan 10 bulan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Kitson Foong yang mewakili Ismail dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda, bukan penjara memandangkan keadaan kesihatan anak guamnya yang tidak mengizinkan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud bersetuju Ismail tidak diberi hukuman penjara. Sebaliknya, pihak pendakwaan mohon denda tertinggi memandangkan Sime Bank kini sudah terkubur.

Pada September 2011, Mahkamah Sesyen membebaskan Ismail daripada pertuduhan berkaitan meluluskan kemudahan kredit berjumlah RM175 juta kepada satu syarikat pelaburan, Everise Capital Sdn Bhd.

Mahkamah yang sama melepaskan beliau daripada empat pertuduhan alternatif berkaitan kesalahan pecah amanah.

Tiada ulasan: