Isnin, 29 Ogos 2016

Balu PI Bala gagal tuntut RM840 ribu dari Najib dan lain-lain

 
 
Istana kehakimanIstana kehakiman


Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman sivil yang difailkan oleh balu penyiasat persendirian P. Balasubramaniam terhadap Deepak Jaikishan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel lima hakim dengan sebulat suara membenarkan rayuan Jaikishan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan saman itu dan memerintahkan kes saman itu didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau memberi jawapan tidak kepada satu persoalan undang-undang. Persoalan itu ialah sama ada pemfailan notis rayuan tunggal berkaitan lapan permohonan interlokutori yang berasingan dan berlainan adalah mematuhi kaedah-kaedah prosedur seperti termaktub di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1995.

Mahkamah turut disidangi oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Ramly Ali dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Pada 18 Dis, tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada A. Santamil Selvi untuk mengekalkan saman sivil terhadap Jaikishan dan untuk beliau meneruskan saman atas sifat peribadinya dan bukan bagi pihak suaminya.

Jaikishan ialah seorang daripada sembilan defendan yang disaman oleh Santamil Selvi dan anak-anaknya berhubung tuntutan bagi kerugian yang ditanggung sepanjang berada di luar negara selama 56 bulan dari 4 Julai 2008 hingga 15 Mac 2013 apabila Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung selepas kembali dari India.

Yang lain ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dua adik (Najib), Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohd Nazim, peguam Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya Sunils, Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat dan peguam M. Arunampalam.

Pada 24 April tahun lepas, Santamil Selvi dan anak-anaknya gagal dalam usaha akhir di Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan saman sivil mereka terhadap lapan daripada mereka, yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam kenyataan tuntutan, beliau berkata suaminya dipaksa menarik balik Akuan Berkanun pertama yang dibuat pada 1 Julai 2008, berkaitan fakta-fakta tertentu dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Santamil Selvi dan anak-anaknya memohon ganti rugi berjumlah hingga RM840, 000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah anak-anaknya dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Pada 4 Mei, tahun ini, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Jaikishan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai tiga persoalan undang-undang.

Tiada ulasan: