Ahad, 10 Julai 2016

Umno belum sempat siasat, Shafie dah keluar parti

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal disifatkan terburu-buru keluar parti sebelum lembaga disiplin Umno selesai menjalankan siasatan ke atasnya kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
 
Justeru di atas tindakannya itu, Shafie sudah tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan hal ehwal berkaitan parti.
 
"Dalam kes Shafie, Umno tidak memecatnya. Keputusan MT Umno ialah mengantung dulu keahliannya sementara siasatan Lembaga Disiplin dilakukan dan apabila siasatan Lembaga Disiplin dilakukan barangkali beliau dipanggil membela diri.
 
"Persoalannya beliau umumkan keluar parti. Kalau dia betul kenapa tidak tunggu lembaga siasatan selesai (siasat). Jadi nasihat saya pada Shafie, tak perlulah lagi persoalkan apa-apa lagi berkaitan Umno kerana ketika ini Shafie bukan lagi ahli Umno," katanya kepada Antarapos menerusi aplikasi Whatsapp.
 
Semalam, Shafie mempersoalkan tindakan Umno yang menggantungnya tanpa menjalankan siasatan terlebih dahulu dan mendakwa Umno takut memanggilnya secara berdepan.
 
Keputusan itu dibuat MT Umno semasa beliau sedang mengerjakan ibadah Umrah.
 
Dalam pada itu, Shamsul berpendapat tindakan menggantung Shafie adalah wajar berdasarkan kepada beberapa tindak-tanduk Shafie yang secara prinsipnya melanggar batas sebagai ahli dan juga pemimpin Umno.
 
"Bagi saya secara peribadi, melihat kepada beberapa tindakan yang dilakukan oleh Shafie memang Umno wajib mengambil tindakan terhadapnya kerana cara prinsipnya ia telah melanggar batas yang sepatutnya sebagai pemimpin atau ahli Umno. 
 
"Kita kena juga ingat, setahu saya ada juga ahli Umno yang terus dipecat tanpa dipanggil membela diri apabila kesalahan yang dilakukannya begitu nyata umpamanya bersekongkol dengan pembangkang sewaktu pilihanraya seperti menjadi calon, menyokong atau sebagainya.
 
"Justeru bagi kes Muhiyidin dan Mukhriz ternyata mereka sepentas dengan musuh parti. Ini kesalahan yang tidak boleh dimaafkan," katanya lagi.
 
Shamsul juga mengakui jasa dan sumbangan Shafie namun perkara tersebut tidak boleh menjadi alasan untuk melanggar peraturan dan undang-undang parti.
 
"Malah kita akui memang beliau pernah berbakti dan berjasa pada Umno dan tentunya juga negara.
 
"Kita hargainya namun seperkara yang perlu kita ingat sebagai ahli atau pemimpin Umno, sebesar manapun jasa atau sumbangan kita pada parti ia tidak boleh menjadi alasan kepada kita untuk melanggar peraturan dan undang undang parti. 
 
"Ini juga bermakna tiada beza peraturan yang pakai atau dikenakan pada ahli biasa atau pemimpin parti, maknanya sesiapa yang ternyata berbuat salah tindakan dan hukuman kena diambil. Jadi bila tindakan diambil pada seseorang ia bukan bermakna Umno tidak menghargai jasa seseorang," ujarnya.
 
Mengenai sokongan Umno di Sabah yang mungkin terjejas, Shamsul menegaskan bahawa Umno juga mempunyai pengaruh dan kekuatannya sendiri serta bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.
 
"Saya yakin Umno sedar dan bersedia menghadapi apa juga keadaan kesan daripada tindakan yang diambil, termasuklah di Semporna Sabah. Maka Shafie perlu juga tahu bahawa Umno juga punyai pengaruh dan kekuatannya.
 
"Pastinya UMNO berusaha dan bersedia hadapai apa juga keadaan," ujarnya lagi.
 
24 Jun lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti manakala Mohd Shafie digantung sehingga siasatan selesai.
 
Keputusan ke atas tiga individu itu dibuat MT Umno selepas kesemua mereka disabit kesalahan melanggar disiplin parti.
 
 

Tiada ulasan: