MALAYSIAKINI
Pelaksanaan kutipan tol di Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2) berkuat
kuasa 15 Julai ini bakal menambahkan beban kewangan kepada rakyat
Terengganu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata kutipan
tersebut tidak wajar memandangkan kerajaan Terengganu turut menampung
sebahagian kos pembinaan lebuh raya berkenaan.
"Dengan kadar 12 sen sekilometer bagi setiap kenderaan yang melalui
LPT2 dari Gemuruh ke Cheneh akan meningkatkan kos perjalanan ke Kuala
Lumpur sekitar 70 peratus.
"Rantaian peningkatan kos pengangkutan akan meninggalkan kesan beban
berganda kepada harga barangan dan perkhidmatan," katanya pada kenyataan
media hari ini.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan Terengganu perlu menyelesaikan
isu tuntutan semula kos pembinaan LPT2 yang menggunakan wang kerajaan
negeri sebanyak RM1.8 bilion.
"Pengembalian semula wang RM1.8 bilion itu cukup besar jumlahnya
untuk memberi kemudahan kepada rakyat terutama sektor pendidikan,
kesihatan dan kemudahan asas.
"Kegagalan kerajaan negeri mendapatkan kembali wang tersebut
merupakan satu kerugian dan pengkhianatan kepada amanah yang telah
diberikan oleh rakyat," katanya.
Selain itu, katanya, keadaan jalan yang menjadi sungutan ramai dan
kekurangan kemudahan di LPT2 perlu diselesaikan sebelum kerajaan
memikirkan 'keuntungan dan laba' daripada saku rakyat.
"Kenapa lebuh raya Sarawak dikecualikan tol? Tetapi LPT2 nak dikenakan tol?
"Kenapa Pantai timur selalu dianaktirikan?" soalnya.
Semalam, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail
Md Salleh berkata keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2
dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat.
Katanya, kutipan itu bagi membiayai kos penyenggaraan dan operasi
termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan
rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan
keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan