Isnin, 11 Julai 2016

Tindakan tegas terhadap peneroka Felda jika terlibat Daesh - Isa

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
PORT DICKSON: Warga peneroka Felda akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati terlibat dengan kumpulan militan Daesh, tegas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad. 
 
Beliau berkata tindakan itu akan diambil berlandaskan undang-undang negara dan Felda. 
 
"Jika mereka yang terlibat adalah daripada generasi kedua dan memohon membeli rumah yang kita wujudkan untuk mereka, kita akan tolak. Ada lagi tindakan lain yang akan kita lihat dari semasa ke semasa. 
 
"Pun begitu, saya percaya pihak polis dan tentera lebih arif dalam mengenal pasti mereka yang terlibat atau menyokong aktiviti-aktiviti kumpulan militan ini. Bagaimanapun, kita memandang serius isu ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri yang dianjurkannya di sini, hari ini. 
 
Isa berkata Felda akan sentiasa memantau warganya bagi memastikan mereka tidak dipengaruhi kumpulan itu.
 
Setakat ini, katanya, tiada laporan yang menunjukkan warganya terlibat dengan kumpulan militan Daesh. 
 
"Saya percaya masyarakat Felda inginkan suasana harmoni yang mereka kecapi kini terus dipertahankan.  
 
"...bagi generasi lama Felda, mereka sudah tentu tidak inginkan generasi kedua dan akan datang mensia-siakan peluang yang diberi kerajaan dengan terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah itu," katanya.
 
 

Tiada ulasan: