Isnin, 4 Julai 2016

SPR akan lakukan persempadanan semula 11 kerusi di Sabah, ramal Adun PKR

DALIA ISMAIL
 
 
See Chee HowSee Chee How


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang See Chee How, menyakini Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sekali lagi akan melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk kepentingan Umno-BN dalam menghadapi PRU14.

Beliau berkata kawasan persempadanan semula itu akan membabitkan kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Sabah ekoran pergolakan dalaman pemimpin dan ahli Umno yang berlaku kini di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak ini juga mendakwa kali ini, SPR akan mengumumkan 11 kerusi baru bagi persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri Sabah yang akan dilakukan pada Ogos depan dalam persediaan menghadapi PRU14.

"Mengikut perlembagaan seorang perdana menteri boleh mengeluarkan perintah kepada parlimen dan dewan undangan negeri untuk melakukan persempadanan semula kawasan untuk tindakan SPR.

"Ia akan diserahkan kepada SPR yang mana badan itu akan mencadangkan 11 kerusi baru di negeri Sabah," dakwanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui selepas hadir sebagai panel dalam "Preparatory Seminar and Workshop on Gearing up for Redelineation' yang dianjurkan Majlis Peguam Malaysia, pada Sabtu.

Ditanya tujuan persempadanan itu perlu dilakukan di negeri di bawah bayu itu, See berkata, ia semata-mata untuk mengukuhkan sokongan pengundi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan BN.

Bagaimanapun beliau meramalkan agak sukar bagi BN untuk mendapatkan suara majoriti di Dun berbanding Parlimen di Sabah.

"Mungkin kali ini BN akan dapat suara majoriti 2/3 di Parlimen dan tidak akan peroleh sokongan 2/3 di beberapa Dun.

"Mereka akan lakukan persempandanan semula negeri Sabah kerana pergolakan politik dalaman Umno di bawah kepimpinan Najib, untuk buat Najib gembira, mereka (SPR) boleh adakan berapa banyak kerusi yang Najib mahukan," ujarnya.

Pada PRU13 negeri Sabah mempunyai 25 Parlimen dan 60 Dun dengan jumlah pemilih berdaftar 981,814 pengundi.

Mengapa 11 kerusi baru? Ramalan Naib Pengerusi Negeri Sarawak ini lagi," ia (SPR)  akan lakukan sama seperti Sarawak," ujarnya yakin.

Pada PRN Sarawak baru-baru ini, Chee See How dan seorang ketua dari masyarakat Kayan di negeri itu pernah terlibat mencabar pelan notis dan draf kawasan yang diterbitkan oleh SPR pada Januari yang mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang membentuk Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie pada Mei telah mengeluarkan perintah mandatori mengarahkan SPR untuk menerbitkan notis yang lebih terperinci untuk semakan awam.

Ini adalah kali pertama SPR dicabar berhubung persempadanan kawasan pilihan raya dan persempadanan semula. Pengerusi SPR telah dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Urusan Kajian Persempadanan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak dilaksanakan selaras dengan keputusan Dewan Undangan Negeri pada 11 Nov tahun lalu yang meluluskan pindaan undang-undang untuk menambah jumlah anggota Dun daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi.

Petisyen yang diterima ialah berkaitan penukaran kerusi kepada wilayah parlimen yang lain dan rungutan kurang serta lebih mengenai wilayah parlimen yang sepatutnya mendapat kerusi negeri yang baru.

Kumpulan ahli politik dan beebrapa NGO percaya bahawa SPR telah gagal untuk mematuhi kewajiban berpelembagaan mereka seperti tertera dalam Seksyen 2 (c), Bahagian 1 Jadual ke 13 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka tidak berpuas hati dengan “kawasan pilihan raya tidak sekata” yang dicadangkan oleh SPR dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini.

Tiada ulasan: