Sabtu, 2 Julai 2016

Sokong Pecat MP Pagoh – Umno Johor Kerajaan Boneka Najib dan Rosmah

najib-umno2

Oleh Mahdzir Ibrahim


Kenyataan Menteri Besar Johor, mewakili Umno Johor yang menyokong sepenuhnya pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan bahawa pengaruh Najib Tun Razak semakin mencengkam Johor.

Malah, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor yang juga Exco Datuk Md Jais Sarday mendakwa bahawa tidak terdapat rasa tidak puas hati di kalangan ketua-ketua cawangan Umno di Johor berhubung perkara itu.

Ini jelas satu petanda bahawa suara rakyat akar umbi di Pagoh telah diabaikan apabila beliau hanya mengambil kira suara ahli parti dalam isu tersebut.

Sokongan Umno Johor atas pemecatan TSMY ini melenyapkan sama sekali slogan ‘Progresif’ yang diwar-warkan selama ini. Malah keputusan ini sebenarnya menguntungkan kita dan ini akan mencerahkan lagi peluang penentang pentadbiran Najib untuk bersatu dengan rakyat Bangsa Johor dalam menentang salahguna kuasa Najib Tun Razak berkaitan skandal kewangan terbesar dirantau asia.

Adalah mudah kita mengukur bahawa segala slogan-slogan indah oleh Menteri Besar Johor hanyalah untuk mengumpul sokongan buat Perdana Menteri yang penuh dengan skandal itu.

Secara tidak langsung bermakna beliau:

1. Bersetuju dengan Najib bahawa Gst tidak membebankan rakyat.
2. Bersetuju dengan ‘Politik Dedak’ – Cash is King
3. Bersetuju dengan salahguna kuasa Najib Tun Razak, bahawa tidak wujud skandal 1MDB.
4. Bersetuju bahawa Rosmah Mansur sesuka hati menggunakan harta rakyat untuk tujuan peribadi
5. Bersetuju agar Najib mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri

Fakta-fakta ini menjadikan kerajaan BN Johor sebagai kerajaan boneka Najib dan Rosmah. Ini melengkapkan asas-asas perjuangan Bangsa Johor untuk menolak kerajaan boneka ini.

Justeru itu, saya menjemput seluruh Bangsa Johor tidak kira bangsa dan agama untuk bersatu dan bekerja bersama-sama demi memastikan kerajaan boneka Najib ini ditewaskan dalam pilihanraya yang akan datang.

Tidak ada gunanya memakan dedak jika kerajaan yang ada, hanya akan menjadi alat untuk Najib dan Rosmah bermaharajalela menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan mereka.

Harus kita ingat, setiap sen yang dibelanjakan oleh Najib dan Rosmah kepada anda sebagai dedak, ia adalah dari titik peluh semua rakyat dan tindakan ini dihalalkan oleh kerajaan boneka Najib yang sedang dipimpin oleh Umno Johor. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor


Tiada ulasan: