Khamis, 14 Julai 2016

Selangor tawar bantuan kewangan pelajar UNISEL

MALAYSIA DATELINE
 
 
Universiti SelangorUniversiti Selangor


Pelajar baru Universiti Selangor (UNISEL) kemasukan Jun layak menerima manfaat pembiayaan pendidikan dan kemudahan pembelajaran ditawarkan Kerajaan Negeri.

Antara tawaran bantuan pendidikan disediakan termasuklah bantuan wang sara diri, Hadiah IPT Selangor, Biasiswa Selangorku dan Pinjaman SUK Selangor.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad,berkata ia sejajar dengan falsafah “Peduli Rakyat” dalam fokus Kerajaan Negeri memacu sistem pendidikan.

“Kami mengharapkan inisiatif ini dapat membantu pelajar cemerlang ini melanjutkan pelajaran dan akhirnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara,” katanya kepada Selangor Kini.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM20.9 juta bagi tujuan pembiayaan pembayaran balik selain peruntukan RM60 juta bagi tujuan penambaikan sistem pendidikan.

Pada masa sama, Menteri Besar Dato’Seri Mohamed Azmin Ali melihat potensi UNISEL menggarap visi Smart Selangor terhadap pembangunan pendidikan negeri.

Beliau berkata, perubahan terhadap dasar pendidikan negeri mampu melonjakkan lagi teras pendidikan ke arah melahirkan graduan berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

“Kita memerlukan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan. Usaha ini menuntut sistem pendidikan yang holistik untuk membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berakhlak tinggi,” katanya.

Tiada ulasan: