Selasa, 12 Julai 2016

'Pota, Sosma, Akta Hasutan ternyata gagal kekang IS'

MALAYSIAKINI


Kejadian keganasan melibatkan kumpulan bersenjata IS dikatakan membuktikan pelbagai undang-undang kontroversi bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak berkesan.

Ini, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan, termasuk Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma) dan Akta Hasutan.

“Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menekankan perlunya satu jawatankuasa merentas parti mengenai ancaman keganasan ditubuhkan agar pimpinan pembangkang juga mempunyai peranan menangani ancaman bersama ini,” kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani ketiga-tiga pemimpin kanan gabungan itu, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Ketua Anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Polis sebelum ini mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor didalangi IS atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Kumpulan dilabel pengganas global itu melalui Youtube sebelum ini telah memberi amaran terhadap ibu pejabat polis Bukit Aman dan mengarahkan serangan terhadap musuh-musuhnya.

Dalam perkembangan terbaru, mereka semakin giat meraih simpati rantau ini dengan menerbitkan majalah pertama dalam bahasa Melayu, Al Fatihin (Pembebas) yang diedar secara digital.

Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut mesyuarat Pakatan Harapan memutuskan supaya pelbagai kelemahan mereka perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan.

Justeru, satu temu rapat kepimpinannya akan dibuat segera dan pembentangan serta rundingan awam mengenai dasar-dasar bersama mereka secara menyeluruh akan dipercepat.

Majlis itu juga menyokong pendirian kerajaan Pulau Pinang bahawa ketua menterinya Lim Guan Eng tidak perlu bercuti atau meletakkan jawatan ketika berdepan dua pendakwaan rasuah di mahkamah.

Menurut badan itu lagi, kes melibatkan Lim adalah 'pemangsaan politik' yang didakwa bertujuan mengukuhkan kedudukan politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Tiada ulasan: