Rabu, 6 Julai 2016

Pengaruh militan paling kuat di IPT

FREE MALAYSIA TODAY


Kerajaan akan mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang berjaya dideradikalisasi untuk membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai ancaman keganasan.


Zahid-Hamidi_isis_student_600


PUTRAJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai tempat yang dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan keganasan militan, dedah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan akan mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang berjaya dideradikalisasi untuk membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai ancaman keganasan.

Katanya, selain media massa, mereka yang terbabit juga akan dibawa ke IPT untuk tujuan tersebut.

“Kami akan meminta agar mereka bersama pihak berkuasa dan muncul untuk beri kesedaran kepada rakyat dan mereka yang mungkin terpengaruh dengan sentimen IS (Daesh) agar tidak terlibat dalam aktiviti yang sedang berlaku,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beberapa langkah juga sedang diambil Kementerian Dalam Negeri dan polis bagi mengelakkan insiden keganasan seperti serangan bom di sebuah premis hiburan di Puchong pada 28 Jun lepas, daripada berulang.

“Saya ingin menegaskan polis sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi apa jua keadaaan.

“Kita tidak akan melepaskan seorang pun jika mereka lakukan perbuatan yang mengancam keselamatan negara dan mengganggu ketenteraman rakyat,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa juga akan terus memantau tindakan-tindakan berunsur keganasan terutamanya di media sosial dan sistem komunikasi lain supaya pengaruh tersebut tidak menular di negara ini.– BERNAMA

Tiada ulasan: