Selasa, 12 Julai 2016

Penculik minta wang tebusan RM17 juta

 
Mangsa culik menghubungi majikannya di Lahad Datu, kurang 24 jam selepas mereka diculik.


Abdul-Fatah-Zainal-kidnap-indonesia


TAWAU: Seorang daripada tiga rakyat Indonesia yang diculik lima lelaki bersenjata di perairan Felda Sahabat Sabtu lalu, menghubungi majikannya untuk memaklumkan permintaan wang tebusan daripada kumpulan penculik.

Ketua Perwakilan Republik Indonesia di Tawau, Abdul Fatah Zainal berkata, mangsa culik menghubungi majikannya yang berada di Lahad Datu, kurang 24 jam selepas mereka diculik.

“Panggilan telefon itu kita belum dapat sahkan sejauh mana kebenarannya, sama ada ia milik penculik atau orang lain. Namun yang pasti nombor telefon yang digunakan dari Filipina,” katanya yang dilaporkan Bernama hari ini.

Sementara itu, China Press melaporkan kumpulan penculik itu meminta wang tebusan sebanyak RM200 juta peso (RM17 juta), namun polis Sabah enggan mengulas tuntutan itu.

Abdul Fatah berkata, kerajaan Indonesia dan pihak berkuasa Malaysia akan berusaha sedaya upaya untuk membebaskan ketiga-tiga mangsa culik itu yang dikenali sebagai Lorence Koten, 34; Teo Dorus Kopong, 42, dan Emanuel, 46.

“Ketiga-tiga mereka (mangsa culik) belum sampai setahun berada di negeri ini dan mereka bekerja sebagai nelayan di Lahad Datu,” katanya.

Tiga mangsa itu diculik ketika menangkap ikan di perairan Felda Sahabat, pada jam 11.40 malam Sabtu lalu manakala empat lagi rakan sekerja mereka yang turut berada di bot pukat tunda itu dibebaskan.

Sementara itu, Abdul Fatah mengingatkan rakyat Indonesia di Sabah supaya mematuhi peraturan khususnya di Kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).

“Selain itu, mereka (rakyat Indonesia) juga perlu berwaspada di mana sahaja mereka berada. Jangan melakukan perjalanan ke selatan Filipina khususnya ke wilayah Tawi-Tawi, Sulu dan Jolo bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.

Tiada ulasan: