Selasa, 19 Julai 2016

Pembangkang: Kami bersedia hadapi PRU bila-bila masa

Pakatan Harapan melakukan penyelarasan dan penambahbaikan serta memantau prestasi wakil rakyat sedia ada.


pakatan-harapan-1


PETALING JAYA: Pakatan Harapan giat menjalankan persiapan pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa sahaja dengan tumpuan diberikan terhadap pengukuhan kawasan pilihan raya, mengumpul maklum balas rakyat serta pemilihan calon.

PKR, DAP dan Amanah senada bersiap sedia kemungkinan PRU14 diadakan tahun depan dengan memfokuskan kerja mendapatkan maklum balas dan memahami keperluan rakyat sebelum melakukan penyelarasan dan penambahbaikan, di samping memantau prestasi wakil rakyat sedia ada.

Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr Hatta Ramli dipetik China Press berkata, disebabkan tidak tahu bila PRU14 akan diadakan, persiapan dalaman bermula dengan mengumpul maklum balas pengundi dan pemilihan calon bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun kami adalah parti baharu, tetapi ahli tidaklah baharu, kebanyakan adalah (pemimpin) ‘tua’ yang mempunyai banyak pengalaman berdepan PRU,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew menegaskan pemilihan calon PRU memfokuskan pemantauan terhadap prestasi wakil rakyat sedia ada dan memilih muka baharu.

“Sebanyak 30 kawasan pilihan raya memerlukan perhatian khas disebabkan kemenangan atau kekalahan tipis di kawasan terbabit pada pilihan raya terdahulu,” katanya.

Naib pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR itu berkata, parti terbabit turut menubuhkan banyak cabang di kawasan kampung dan memastikan mereka mempunyai petugas mencukupi meraih undi dan memantau proses pengundian.

Tambahan, PKR turut memperkenalkan satu siri ceramah “Maruah Melayu” untuk meningkatkan kesedaran politik di kalangan masyarakat Melayu.

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, kajian terhadap isu-isu, propaganda dan kehendak rakyat sedang dijalankan sebagai persiapan awal terhadap PRU14.

Tiada ulasan: