Selasa, 5 Julai 2016

PAS mahu PDRM redakan resah rakyat

MALAYSIAKINI


Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa meningkatkan dan menambah baik kawalan keselamatan negara ekoran berleluasanya elemen militan IS di negara ini.

Gesaan itu dibuat PAS berikutan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan dua daripada 15 orang yang ditangkap berhubung serangan IS di Puchong adalah anggota polis.

Kenyataan itu, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan terhadap PDRM.

“PAS berharap PDRM dapat mengambil penambahbaikan segera, memperbaiki segala kelemahan dalam pemantauan dan membuat persediaan terbaik agar pasukan keselamatan sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk IS daripada melakukan kerosakan kepada negara,” katanya.

Dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam polis mengesahkan terdapat pembabitan kumpulan IS dalam letupan bom di sebuah pusat hiburan di Puchong pada 28 Jun lalu.

Khalid berkata, ia adalah serangan pertama IS di negara ini dan pihaknya telah menahan 15 orang, termasuk dua anggota polis bagi membantu siasatan kes itu.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim yang juga bekas pesuruhjaya PAS Pahang menyeru semua pihak agar bersatu mengekang elemen IS dan tidak saling menyalahkan antara satu sama lain.

“Sekarang waktu untuk bersatu padu dan saling mempercayai, dan bukan saling salah menyalahkan.
“PAS juga meminta orang ramai turut memainkan peranan dengan sentiasa menjaga keselamatan di tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Ekoran kejadian di Puchong itu seorang lelaki dikenali sebagai Muhamad Wanndy Mohamad Jedi mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Pengakuannya dibuat pada laman Facebook melalui akaun yang dikaitkan dengan IS.

Polis sedang memburu dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam insiden berkenaan.

Sekurang-kurangnya lapan cedera, termasuk seorang parah, kesan daripada letupan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada sebutir bom tangan.

Tiada ulasan: