Ahad, 10 Julai 2016

PAS ajak PKR perkukuhkan Blok Politik Ketiga [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mengalu-alukan penyertaan PKR ke dalam Blok Politik Ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bagi mengukuhkan lagi gagasan pembangkang untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
 
Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh yang turut mengakui bahawa PAS tidak akan mampu memperoleh kemenangan yang besar sekiranya bertanding sendirian.
 
"Kita akui bersendirian tidak mampu untuk kita meraih lebih banyak kerusi, jadi perlu ada gabungan dan kita mengajak PKR bersama dengan Blok Ketiga. Biarkan DAP hendak bersama Amanah, biarkan. Tetapi kita nak ajak PKR bersama PAS dalam Blok Ketiga," katanya.
 
Dalam mengulas bentuk kerjasama yang masih dijalin antara PAS dan PKR, lebih-lebih lagi menerusi pentadbiran kerajaan Selangor, Mohd Fuad berpendapat tiada keperluan untuk mengkaji semula hubungan yang sedia ada.
 
Tegasnya, PKR sedia maklum dengan kekurangan yang ada padanya dan kelebihan yang ada pada PAS bagi melengkapi keperluan agenda politik masing-masing.
 
"Saya tidak melihat ia perlu (dikaji). Sebab soal sentimen, jika dilayan ia akan mendatangkan keburukan. 
 
"PKR juga tahu kedudukan mereka. Kerusi-kerusi yang dimenangi PKR sekarang di kawasan campuran sebahagiannya datang daripada undi penyokong PAS. Jadi sanggupkah PKR memperjudikan nasib kawasan-kawasan mereka? 
 
"Kerusi Bukit Antarabangsa dan Gombak yang merupakan kawasan Menteri Besar adalah kerusi yang asalnya milik PAS dan diserah kepada PKR," kata Mohd Fuad kepada Antarapos.
 
Menerusi Muktamar Tahunan PAS Ke-62 yang berlangsung awal bulan ini, Dewan Muslimat melontarkan cadangan kepada pimpinan parti untuk mengkaji semula kerjasama dengan PKR, rentetan beberapa tindak-tanduk parti itu seolah-olah tidak menghormati hubungan yang ada.
 
PKR bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membentuk Pakatan Harapan (PH), sementara PAS bersama IKATAN selepas kerjasama melalui Pakatan Rakyat (PR) terkubur.
 
Azmin berbelah bagi
 
Malah kelibat pemimpin PKR bersama-sama dua calon Amanah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini juga seolah-olah menyerlahkan lagi jurang yang ada antara PAS dan PKR.
 
Pemimpin PKR bersama DAP giat berkempen bagi calon Amanah, sebaliknya bagi calon PAS terpaksa bergerak sendirian.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR hanya hadir di saat-saat akhir berkempen namun mengambil pendirian menyokong kedua-dua calon itu.
 
Diminta mengulas hal itu, Mohd Fuad memberitahu PAS sedikit terguris dengan sikap yang diambil PKR, namun sudah pun menjangka keadaan tersebut sejak awal lagi.
 
"Sebab sedari awal lagi Wan Azizah (Presiden PKR) tidak menyebut PAS dalam perbincangan (PRK). Dan kita faham sebab kita tidak bersama di dalam PH. PKR-Amanah-DAP bergabung, manakala PAS berada di luar. Mereka sebut nak calon PRK daripada PH, kita katakan tidak ada, teruskan (bertanding).
 
"Dan kita sudah jangka PKR tidak akan bantu PAS. Tetapi melihat gerakan politik sepanjang dua minggu PRK Sungai Besar, kelibat pemimpin PKR tidak ramai, yang ada hanya Wan Azizah dan Rafizi Ramli. 
 
"Pimpinan kawasan ramai tidak turun, malah saya dapat tahu ada yang sengaja melarikan diri ke Mekah dan luar negara sebab tidak mahu bantu calon Amanah.
 
"Itu menunjukkan di dalam PKR sendiri ada berbelah-bahagi. Azmin juga menyebut sokong calon PH, tetapi (dalam masa sama) mendoakan calon PAS berjaya. Dalam tindakannya ada yang tersembunyi," ujarnya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: