Selasa, 12 Julai 2016

PAP hanya hadiri majlis taklimat, bukan meterai perjanjian dengan Saksama - David Dass

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Alternatif Rakyat (PAP), David Dass mengakui beliau hadir dalam satu pertemuan dengan Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) baru-baru ini, namun menegaskan ia hanyalah majlis pendengaran taklimat sahaja dan bukan majlis 'memeterai perjanjian' untuk menyertai gabungan berkenaan.
 
Sambil menafikan kenyataan Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo, ujar David, buat masa ini PAP masih belum memberi sebarang kata putus mengenai penyertaan mereka dalam Saksama.
 
Lina ketika dihubungi Antarapos sebelum itu menegaskan PAP ada menyertai perbincangan dengan enam lagi parti lain untuk menubuhkan Saksama. 
 
"Saya mendapat jemputan untuk datang mendengar taklimat mereka, apakah matlamat mereka dan sebagainya. Seperti mana Presiden kami katakan, kami belum ada apa-apa (kata putus sama ada) untuk menyertai, kami hanya menghadiri untuk dengar taklimat mereka dan apa yang mereka cadangkan.
 
"Kami belum menerima apa-apa memorandum atau Perjanjian Persefahamam (MoU). Saya hanya memohon kepada mereka sekiranya mahu menjadikan PAP sebagai parti gabungan, kami perlukan MoU dahulu untuk diteliti. 
 
"Selepas diteliti, kami perlu berbincang dengan keseluruhan anggota majlis tertinggi PAP untuk membuat keputusan," katanya kepada Antarapos, mengulas mengenai kenyataan Lina itu.
 
Ujarnya, adalah penting untuk PAP meneliti MoU atau draf mengenai Saksama terlebih dahulu agar ia tidak melanggari dasar parti itu sendiri dan juga manfaat yang boleh diberikan kepada rakyat. 
 
"(Perlu) diteliti dahulu apakah matlamat mereka di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak, apakah sehaluan dengan pemikiran dan cadangan kita, bagaimana Saksama ini boleh menentukan masa depan rakyat," kata beliau sambil menambah, kehadiran beliau dan beberapa pimpinan PAP dalam majlis tersebut diketahui Presiden, Zulkifli Mohd Noor.
 
Selain David, pimpinan PAP lain yang turut hadir dalam pertemuan pembentukan Saksama itu adalah Naib Presiden, Santokh Singh dan Setiausaha Antarabangsa, Balachanthar. 
 
Terdahulu Lina menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Zulkifli yang menafikan PAP akan bergabung dalam Saksama sedangkan wakil daripada parti itu hadir pada siri perbincangan yang diadakan sebelum ini.
 
Menurut Lina, tiga siri perbincangan diadakan diantara PAP dan enam lagi parti lain pada Jun lalu bagi memuktamadkan MOU untuk merialisasikan gabungan berkenaan selepas membuat pendaftaran di Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi.
 
Enam parti lain yang dilaporkan bakal menyertai Saksama adalah STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
 
 

Tiada ulasan: