Sabtu, 2 Julai 2016

Pakatan Harapan P.Pinang Sokong Penuh Guan Eng Tak Perlu Letak Jawatan

MSTAR ONLINE



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menunduk sebagai tanda terima kasih kepada para penyokong dan pemimpin pakatan pembangkang semasa Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman (tengah) dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow (kanan) mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), George Town, Sabtu. Sokongan moral ini dapat dilihat semasa Lim dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk didakwa atas tuduhan bersabit jual-beli sebuah banglo pada hari Khamis. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Sabtu menzahirkan sokongan penuh dan sebulat suara bersetuju bahawa Lim Guan Eng, yang menghadapi dua pertuduhan kes rasuah, tidak perlu mengambil cuti dan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman berkata Pakatan Harapan yang diterajui PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP mencapai persetujuan itu dalam mesyuarat pagi ini.

"Terdapat beberapa pendirian yang kami ambil berhubung keputusan ini, yang pertama jawatan yang disandang oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sekarang ini tidak ada sebarang hubungan ataupun pengaruh dalam badan kehakiman dan juga lain-lain institusi perundangan dan penguat kuasa negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia).

"Jadi tidak ada campur tangan politik," katanya dalam sidang akhbar di pejabat ketua menteri di sini Sabtu.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Lim, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Mansor berkata pihaknya juga yakin tuduhan yang dikenakan terhadap Lim adalah berkaitan politik dan satu inisiatif untuk mematikan kerjaya politik ketua menteri itu.

Mujahid pula berkata Amanah menyokong keputusan yang dibuat Pakatan Harapan dan turut menyifatkan pendakwaan terhadap Lim adalah bermotifkan politik.

Khamis lepas, Lim ,56, dihadapkan di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Setiausaha Agung DAP itu juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn di sini daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Bagi pertuduhan pertama Lim didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
 

Tiada ulasan: