Selasa, 5 Julai 2016

'Mohd. Shafie banyak jasa tetapi saya sayang UMNO '

 
 
Mohd. Shafie Apdal
Mohd. Shafie Apdal
 
 
“Memang banyak jasa Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal terhadap saya selama terlibat dalam UMNO tetapi perjuangan saya bukan kerana jasanya. Saya tak akan lupa segala budi baiknya namun untuk bersamanya keluar daripada parti UMNO, saya minta maaf.”

Itu luahan seorang ketua Puteri UMNO sebuah bahagian di Sabah yang enggan namanya disiarkan tetapi meminta supaya luahan hatinya disiarkan di MalaysiaGazette agar bekas Menteri Luar Bandar dan Wilayah itu faham pendiriannya dan juga ramai lagi rakan-rakan sejawatannya.

Jelasnya, dia amat kecewa apabila Mohd. Shafie mengambil keputusan keluar daripada UMNO kerana pada jangkaannya, Mohd. Shafie akan meneruskan perjuangannya selagi belum dipecat daripada parti.
“Saya akan sentiasa menyokongnya jika dia masih di dalam UMNO malah sejak dia digugurkan daripada kabinet, saya menangis ketika menyambutnya pulang dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Tawau.

Dia minta kami yang menyokongnya supaya bertenang kerana katanya setiap yang berlaku ada hikmahnya tetapi hari ini lain pula jadinya.

“Saya faham dan dapat rasakan kekecewaannya tetapi keluar daripada parti bukanlah jalan penyelesaiannya malah akan menambahkan lagi kekusutan,” ujarnya.

Katanya lagi, Mohd. Shafie mungkin kesal apabila orang-orang yang telah dibantu selama dia menjadi menteri tidak mahu bersamanya untuk keluar daripada UMNO.

“Perasaan saya sekarang umpama pepatah diluah mati emak, ditelan mati bapa. Saya sayang dan amat menghormatinya tetapi perjuangan saya bukan untuk dia seorang. Saya menyertai UMNO kerana memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan saya telah diamanahkan untuk membela nasib bangsa di tempat saya.

“Tidak terfikir langsung untuk melukakan hatinya tetapi hati dan naluri saya telah bulat bersama UMNO sejak dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Tambahnya lagi, buat masa ini, dia tidak mahu berjumpa Shafie yang mungkin juga tidak mahu bertemu dengannya tetapi dia tetap mendoakan yang terbaik buat lelaki yang telah banyak membantunya itu.

“Harapan saya cuma satu iaitu beliau tidak akan menyertai mana-mana parti pembangkang demi membalas dendam terhadap UMNO. Kalau boleh, saya mohon agar beliau tidak terlibat lagi dalam dunia politik sebaliknya menceburi bidang perniagaan.

“Yang sudah tu sudahlah kerana itu semua adalah takdir yang telah ditentukan oleh yang maha Esa sejak azali,” ujarnya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: